Monday, September 8, 2014

cerpen ke-5

~ Si Kurung Biru ~


“Lama ke Acad cuti kali ni?” Soalan ayah kedengaran agak jauh akibat bunyi mesin kelapa yang kuat. Bebelan emak dari pagi tadi yang mahukan santan untuk dibuat bubur kacang memaksa ayah akhirnya di sini. Sedang memesin kelapa dengan banyaknya. Arsyad senyum geli hati melihat ayah yang bersungguh-sungguh sampai habis berpeluh.
“Lama jugak. Dalam dua minggu. Tesis saya dah siap cuma tinggal untuk semakan terakhir sahaja lagi.” Ayah mengangguk faham.
“Baguslah. Dah lama sangat kamu dekat Pulau Pinang tu. Mak kamu pun dah bising pasal kamu.”
Arsyad ketawa. Dia faham sangat dengan perangai emaknya yang tidak habis-habis menyuruhnya berumah-tangga. Bukan dia tidak mahu cuma dia agak sibuk dengan projek Masternya. Habis sahaja ijazahnya dua tahun lepas dia terus menyambung program Master. Kebetulan pensyarah yang menyelia projek tahun akhirnya mendapat geran untuk meneruskan projek yang dia telah buat. Projek remote sensing yang melibatkan pemetaan kawasan tercemar di sekitar Pulau Pinang mendapat pembiayaan daripada kerajaan negeri. Dia yang memang sudah menanti-nanti peluang menyambung pelajaran seperti orang yang disorongkan bantal, terus sahaja dia setuju. Sedar tidak sedar sudah lima tahun dia berada di Bumi Minden. Umur pun sudah makin meningkat. Sudah berubah angka ke 25. Umur yang sudah boleh buat emak membebel pasal kahwin.
“Mak mesti bising pasal kahwin la tu kan,ayah?”
Ayah ketawa kecil. “Emak kamu memang macam tu. Yalah tinggal kamu seorang lagi yang belum beristeri. Nasiblah Kak Long kamu tu tinggalkan anak dia dekat sini. Tidaklah dia bosan sangat.” Ayah yang sudah selesai dengan kerjanya bergerak ke bangku panjang yang dia sedang duduk sekarang.
“Ayah faham kamu mahu belajar sampai ke Phd tapi kamu kena la rancang baik-baik. Kahwin ni pun ibadah jugak.” Ayah menepuk-nepuk pahanya. Dia tersenyum kecil.
“Ya lah ayah. Saya faham.”
“Habis Master nanti kamu sambung terus? Tak mahu buat dekat Terengganu sahaja ke?”
“InsyaAllah ayah. Saya niat nak sambung dekat Terengganu ni aje. UMT pun dah ada buka course macam saya ni. Ya lah, saya bimbang kalau saya sambung dekat Penang, mahunya emak merajuk setahun dengan saya. Tak ke haru nanti.”
Ayah sudah gelak besar. Belakang Arsyad ditepuk-tepuk. “Nanti tak pasal-pasal ayah sekali jadi mangsanya. Mati kering la ayah kalau macam tu...” Mereka anak beranak ketawa serentak.


            Tidurnya terganggu apabila dirasakan ada tangan kecil yang mencuit-cuit bahunya. Saat matanya terbuka wajah Aishah si kecil Kak Long sedang tersengih-sengih di tepinya. Di tangannya sedang memegang beg sekolah.
            “Aishah nak ke mana, sayang?” Arsyad sudah bangun membetulkan badannya. Lenguh menyapu sampah belakang rumahnya masih terasa. Jam di tangan sudah beranjak ke angka tiga. Selepas zohor tadi dia terus terlentang di depan tv. Ingatkan mahu tengok cerita apa yang menarik, last-last tv pulak yang tengok dia.
            “Pak Ucu, hantar Ecah ke kelas bleh...” Dalam pelat yang masih ada Aishah memberitahunya. Arsyad yang mendengar sudah pelik. Nak ke kelas apanya kecik-kecik macam ni. Biar betul si Aishah ni..
            “Aishah nak pergi kelas? Kelas apa ni...”
            “Kelas Cikgu Qira...”
            “Ha??” Arsyad sudah makin pening.
            “Okey-okey...sekejap kita pergi jumpa Mak Tok dulu ya..”
            Arsyad mendukung Aishah ke dapur. Anak Kak Long yang bongsu ni memang sedikit kecil saiznya kalau nak dibandingkan dengan abang atau kakak-kakaknya. Umur sudah masuk empat tahun tapi saiz badannya macam budak dua tahun.
            Emak yang sedang menggoreng sesuatu di atas dapur menoleh memandangnya.
            “Belum hantar lagi Aishah ke kelas dia ke?”
            “Kelas apa mak? Acad tak tahu apa pun...”
            “La.... Kak Long tak bagitahu apa-apa ke pagi tadi? Mak ingatkan Acad dah tahu. Ni... Aishah ada kelas membaca petang ni dekat Tuisyen Pintar. Acad tolong hantar kan ya..”
            “Tuisyen Pintar? Dekat mana tu mak...”
            “Ala...dekat simpang nak masuk ke kampung kita tu la. Tak kan Acad tak perasan..”
            Arsyad sudah memegang kepala. Dekat simpang kampungnya... Tiba-tiba imej rumah batu setingkat yang berpagar merah jambu menjelma ke dalam fikirannya. Dia pernah ternampak ramai anak kecil yang berlari-lari di dalam pagar tersebut. Dia ingatkan tempat jagaan budak ke..taska ke.. tuisyen rupanya.
            “Okey lah kalau macam tu.. Tapi tadi kenapa Ecah kata dia nak pergi kelas Cikgu Qira?” Wajah emak sudah berubah riak. Ada senyuman penuh makna sudah terukir.
            “Cikgu Qira tu cikgu kelas membaca Aishah la...Cantik orangnya..” Senyum emak sudah sampai ke telinga. Arsyad yang melihat emak mula untuk bercakap balik cepat-cepat mengangkat Aishah ke dukung sambil berlalu ke pintu. Kalau tunggu lebih lama mesti emak sudah mula keluar ayat-ayat bunga. Lepas tu dia akan mendengar ceramah free pasal munakahat. Mak..mak..orang nak kahwin la. Cuma belum jumpa yang berkenan di hati ni. Mak ingat senang ke nak cari perempuan zaman sekarang. Satu bumi minden dia cari tak adanya dia jumpa. Opss..tak jumpa ke Chad..Habis tu yang buat kau nanar satu semester tu apa? Arsyad sudah geleng kepala mengingatkan cinta tak kesampaiannya dulu. Lupakan je la Arsyad. Kau tak akan jumpa balik punya si kurung biru tu.


            “Nanti Pak Ucu nak kena ambik Aishah pukul berapa ni?” Aishah yang sudah menyarung beg ke bahu memandang lama ke arahnya.
            “Aishah tak ingat la Pak Ucu. Sekejap Aishah pergi tanya cikgu...” Laju Aishah berlari masuk ke dalam rumah batu bercat krim itu.
            “Sudah...aku tanya main-main aje. Bukannya mak tak tahu Aishah balik pukul berapa..” Arsyad sudah garu kepala. Susah betul dapat anak sedara yang straight ni.
            Kelibat Aishah yang sedang dipimpin tangannya oleh seorang gadis membuatkan Arsyad berdiri tegak dari selesa bersandar di tepi kereta. “Cikgu Qira ke tu...”
            “Pak Ucu, Aishah balik pukul lima. Kan cikgu Qira?” Aishah tersenyum memandang wajah cikgunya yang bertudung krim itu. Arsyad yang turut sama memandang sedikit terkedu saat gadis itu memandangnya.
            “Ha. Aishah habis kelas pukul lima. Encik ni siapa ya? Biasa Kak Ros yang hantar Aishah ke sini.”
            “Saya... Pak Saudara... Aishah.” Arsyad sedikit tergagap menjawab.
            “Oh..uhm..okey lah Pak Saudara Aishah, kami masuk dulu. Kelas pun dah nak mula sekejap lagi.” Cikgu Qira ketawa kecil apabila melihat Arsyad sedikit gelabah.
            Arsyad hanya memandang lama saat gadis itu memimpin Aishah berjalan masuk ke dalam pagar rumah batu setingkat itu. Dia sudah hilang kata. Tapi matanya sudah tidak boleh menipu yang gadis di depannya inilah yang telah buat dia nanar suatu ketika dulu. Apa yang kau nak buat ni Chad?
            “Cikgu Qira!!! Nama saya Arsyad!” Arsyad tidak tahu saat bila peti suaranya bergerak lebih pantas melebihi akalnya. Dia yang sedikit terkejut dengan tindakannya tersenyum kecil saat gadis itu menoleh dan tersenyum memandangnya. Agak lama dia memandang  ke arah si gadis sehinggalah Aishah menarik tangan cikgunya itu untuk masuk sambil tangan si kecil itu melambai-lambai ke arahnya.
            “Qira. Nama awak Qira rupanya. Kita jumpa balik. Saya ingat dah tak akan jumpa awak lagi...” Arsyad masih berdiri tegak di situ.


            Angin petang yang sepoi-sepoi bahasa di pantai Teluk Ketapang memberi damai. Tadi selepas Asar, dia yang bergegas mahu mengambil Aishah terhenti di pintu dapur apabila dilihat Aishah sudah berlari-lari anak masuk sambil menjinjit beg sekolahnya. Kak Long dah pergi ambil rupanya. Melepaslah peluang dia nak bertemu Cikgu Qira. Sedikit hampa akhirnya dia keluar juga. Emak yang bertanya dia mahu ke mana hanya dijawab dengan sengihan sambil menunjuk kunci kereta tanda dia mahu keluar sekejap. Akhirnya dia di sini. Sedang memandang laut lepas sambil mengunyah kacang kuda.
            Kenangan dua tahun lalu menggamit memori. Si kurung biru yang menjadi misteri akhirnya dia jumpa. Rupanya mereka sekampung! Arsyad masih ingat peristiwa yang membuatkan dia angau hampir satu semester. Sehinggakan kawan baiknya Fitri mengatakan dia sukakan bayang-bayang. Yalah, selepas peristiwa di tangga library tu, dia sudah tidak jumpa lagi gadis berbaju kurung biru tu. Boleh dikatakan setiap hari dia akan ke Perpustakaan Hamzah Sendut, tapi usahkan orangnya, bayang-bayang pun tak ada.
            Tangannya menyeluk poket seluar khakis. Keychain bentuk hati separuh ditarik keluar. Keychain milik gadis itu yang sudah hampir dua tahun berada di tangannya. Dia mendapat keychain itu semasa kejadian di tangga tingkat dua PHS semasa dia di tahun akhir pengajian ijazahnya. Mata Arsyad merenung jauh ke tengah laut. Ingatannya kembali ke Bumi Minden dua tahun lalu.

~Usm; sekitar Oktober 2008~

Arsyad yang baru sahaja keluar dari bilik solat PHS sedikit gopoh apabila teringatkan janjinya dengan Fitri untuk makan sekali. Kawannya itu tadi asyik bersungut lapar. Dia yang begitu ralit dengan tugasan tutorial Fizik Kuantum tidak sedar jam sudah beranjak ke angka dua. Jalannya yang agak laju membuatkan dia terus membelok ke arah tangga tanpa sedar ada seseorang yang sedang menuju ke atas.
            “Ya Allah!” Tanpa sempat membrek langkahnya, dia sudah melanggar seseorang di tangga. Seorang pelajar perempuan sudah jatuh terduduk di anak tangga terakhir. Gadis itu berkurung biru.
            “Awak tak apa-apa? Saya minta maaf sangat-sangat.” Dia yang mula tunduk untuk membantu pelajar perempuan tersebut agak terkedu apabila gadis itu dengan sedikit gopoh bangun membetulkan bajunya.
            “Tak apa...tak apa..saya okey.” Pelajar perempuan tersebut menarik beg sandang ke bahu sambil tangan sibuk mengira-ngira buku di tangannya.
“Tak apa....sikit je..” Wajah yang tenang dengan senyuman yang manis terukir di bibir membuatkan Arsyad terkesima. Dia yang masih kaget dengan tingkahlaku pelajar tersebut hanya mampu memandang saat gadis itu berlalu pergi. Apa yang dia tahu detak jantungnya sangat kuat berlagu saat pelajar perempuan tadi tersenyum padanya.
“Apa yang tak kena dengan aku ni?” Tangannya diletakkan didada. Kuat betul bunyinya.
“Aku sakit jantung ke?” Arsyad sedikit pelik. Namun wajah pelajar perempuan tadi masih di matanya. Sepanjang tiga tahun dia belajar di USM ini, inilah kali pertama dia merasa begitu berdebar apabila melihat perempuan. Dia yang masih sedikit bingung melangkah perlahan menuruni tangga. Tiba-tiba tapak kakinya terpijak sesuatu. Dia tidak jadi melangkah sambil mengangkat tapak kasutnya.
Keychain bentuk hati separuh berwarna silver.
Dia pasti keychain itu milik pelajar perempuan tadi. Kakinya laju sahaja selepas itu berlari ke arah pelajar perempuan tadi menghilang. Tapi usahkan orang, bayang dia pun tiada. Akhirnya dia membuat keputusan untuk menyimpan sahaja keychain itu.
Selepas kejadian di tangga itu, dia sudah seperti menjadi penghuni tetap PHS. Boleh dikatakan setiap hari dia akan melangkah ke PHS. Kalau dulu dia lebih selesa menelaah buku di bilik, sekarang port studynya sudah bertukar. Masuk minggu ketiga dia berulang ke PHS, dia sudah hilang semangat. Usahkan orang, bayang si pemilik keychain pun tidak kelihatan.
“Aku rasa baik kau putus asa sajalah Chad..” Fitri menepuk-nepuk bahunya. Dia yang mendengar hanya mampu mengeluh kecil sambil menghirup air sirap bandung di dalam gelas yang sudah tinggal separuh. Mereka baru sahaja siap makan tengahari di kafeteria Bakti Permai selepas solat Jumaat.
“Habis tu barang dia ni aku nak letak mana?” Arsyad menunjukkan keychain silver di tangannya.
“Kau simpan je la. Buat kenangan..Untung-untung kau jumpa dia balik satu hari nanti. Mana kita tahu kan? Kerja Allah Chad...” Fitri tersenyum manis.


            Angin petang yang menampar pipi membuatkan Arsyad tersedar dari lamunan.
“Kerja Allah Chad....” Masih terngiang-ngiang kata-kata Fitri pada petang Jumaat dua tahun lepas. Ketika itu dia hanya mampu terdiam sambil memasukkan keychain silver ke dalam poket seluar melayunya. Sekarang keychain itu masih di tangannya. Dan, pemiliknya pun dia sudah jumpa.
            Betullah. Semua ini kerja Yang Di Atas. Kalau sudah tersurat yang satu hari nanti dia akan jumpa balik si pemilik hati separuh itu, pasti dia akan jumpa. Cuma cepat atau lambat sahaja.
            Petang sudah perlahan-lahan merangkak pergi. Arsyad menepuk-nepuk seluarnya yang sedikit berpasir. Dia harus pulang ke rumah sekarang. Malam nanti ada misi yang dia harus laksanakan.


            Bacaan Yasin disudahkan dengan tazkirah pendek dari ayah. Sudah menjadi kebiasaan bagi mereka sekeluarga untuk berhimpun setiap malam jumaat. Selesai solat maghrib berjemaah, mereka akan membaca surah Yasin bersama-sama disusuli dengan tazkirah dari ayah. Isi kandungan tazkirah ayah malam ini membuatkan Arsyad sedikit tersentuh. 
“Tanggungjawab.”
Kata ayah, tanggungjawab manusia ini bukan hanya kepada dirinya tetapi kepada semua makhluk di atas muka bumi ini. Hatta kepada haiwan sekalipun. Dan, ia adalah amanah yang sudah diberikan kepada manusia dari Allah. Tanggungjawab inilah yang akan disoal di akhirat kelak oleh Allah. Untuk menjadi manusia yang betul-betul sempurna di mata Allah, manusia itu harus  melaksanakan segala tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.
Ayah juga sempat berjenaka dengan mengenakan Arsyad. Katanya kalau mahu jadi lelaki yang betul-betul sempurna, maka beranilah untuk meminang anak dara orang, baru dia boleh tahu samada dia betul-betul seorang yang bertanggungjawab atau tidak. Usikan ayah dibalas dengan sengihan panjang.
“Arsyad nampak macam ada benda saja nak cakap dengan ayah?” Sapaan ayah membuatkan Arsyad sedikit terpana. Ayah boleh baca fikiran dia ke? Dia ingatkan emak dia sahaja yang pandai baca isi hatinya. Arsyad tersenyum memandang ayahnya.
Angin malam menghembus perlahan. Selesai makan malam selepas solat isyak berjemaah tadi, dia mengambil tempat di beranda rumahnya. Payah pulak dia rasa untuk memulakan bicara hati dengan ayahnya.
Tapi belum sempat dia membuka mulut, rupa-rupanya ayah sudah seperti dapat membaca gerak-gerinya.
“Itulah ayah...Chad pun tak tahu macam mana nak mulakan..”
“Mulakan dengan bismillah...” Kata-kata ayah dibalas dengan ketawa kecilnya.
“Betullah ayah kata. Mulakan dengan bismillah dahulu. InsyaAllah lancarlah kata-kata kamu nanti..” Ayah yang sedang menggulung rokok daunnya tersenyum pendek. Arsyad membetul letak duduk di atas kerusi sambil menghadap ke arah ayahnya.
“Uhm...sebenarnya ayah, Arsyad sudah jatuh hati dekat seorang perempuan..” Arsyad berkata perlahan sambil matanya melihat-lihat ke dalam bimbang emaknya ada mendengar.
Hahaha....ketawa ayah meletus. Rokok daun yang sudah dikepit di celah bibir dijauhkan. Arsyad sudah garu kepala melihat ayahnya yang sedap betul mengetawakannya.
“Ayah ingat apa la tadi...Ha, baguslah tu. Bila nak suruh ayah masuk meminang?” Ketawa ayah sudah reda.
“Tapi ayah, masalahnya Chad belum kenal betul-betul lagi perempuan tu. Chad pun tak tahu dia dah kahwin ke belum..” Kata-kata Arsyad membuatkan ayahnya tersengih panjang.
“Siapa perempuan tu? Orang mana?”
“Orang sini jugak..”
“Ha, itu sudah bagus. Lagi senang kerja ayah..” Ayah ketawa kecil.
“Ayah, Chad serius ni...” Arsyad menggaru kepalanya yang tidak gatal melihat telatah ayahnya yang macam tidak serius mendengar luahan hatinya. Apalah yang tidak kena dengan ayahnya malam ni. Sudah dua tahun dia pening memikirkan hal si kurung biru tu. Alih-alih bila sudah jumpa, ayahnya pula buat endah tak endah. Aku tak kahwin sampai tua kan baru tahu. Arsyad sedikit bengang.
“Ya. Ayah dengar dengan baik apa yang Chad luahkan. Sebenarnya ayah saja nak tengok anak ayah ni betul-betul yakin atau tidak dengan perasaannya.” Nada ayah sudah berubah. Rokok daun di mulut sudah tiada dan kini ayahnya membetul letak duduknya dengan menghadap Arsyad sepenuhnya.
Arsyad menelan liur yang kini terasa berpasir.
“Begini. Pada pendapat ayah, baiklah Arsyad dahulu yang mulakan langkah. Cuba selidik dan kenal dahulu hati budi dia. Bila Arsyad sudah betul-betul yakin, masa itulah baru bagitahu ayah dan mak. Ayah tahu Arsyad pasti sudah faham apa yang ayah terang waktu tazkirah tadi. Untuk pikul tanggungjawab ini bukan mudah. Tapi ayah tahu anak ayah ini sudah boleh pikul tanggungjawab tu. InsyaAllah. Jika niat Chad baik, pasti Allah akan permudahkan segala urusan nanti. Yang penting Arsyad kena ingat dalam apa jua pekerjaan yang kita mahu buat, niatkan pada Allah. Biar segalanya mendapat berkat.”
            Ayah meletakkan kopiah di kepala di atas meja.
            “Hidup kita ni Chad..jika kita letakkan Allah di hadapan, insyaAllah selamatlah kita. Hati kita tidak akan sedih atau kecewa saat kita tidak dapat apa yang kita inginkan. Jadi baiklah Arsyad selidik dan kenal dahulu perempuan tu. Selepas sudah kenal betul-betul, beristikharahlah. Petunjuk dariNya adalah yang paling terbaik. Bagi pihak ayah, jika sudah baik untuk Arsyad, baiklah untuk ayah dan mak.”
            Arsyad terdiam. Bicara ayahnya yang penuh makna membuatkan dia makin nekad untuk meneruskan misi mendapat si kurung biru. Hatinya pernah goyah saat dia hilang punca untuk mencari si kurung biru;Qira. Namun kini dia pasti segala-galanya sedang tersuluh terang. Lima tahun tanpa sesiapa di hatinya seakan-akan petanda jodohnya bukan di Bumi Minden. Namun sekarang, hatinya tiba-tiba sedikit cuak memikirkan si gadis. Sudah berpunyakah dia? Janganlah dia terlambat. Namun bayangan Cikgu Qira yang tersenyum tengahari tadi seakan memberi petanda yang harapannya masih ada. Arsyad menarik nafas lega. Ya Allah, permudahkanlah urusanku jika sudah tersurat dia jodohku.


                      ***************************TAMAT*************************










Saturday, January 5, 2013

Cerpen ke-4^_^


ANTARA IMPIAN DAN HARAPAN
Jam menunjukkan pukul tujuh lima minit pagi apabila Nur Dhuha mula memperlahankan kelajuan keretanya takkala matanya mula membaca nama sekolah yang tertera pada pintu pagar yang bercat kuning cair. Nampak sudah agak pudar warnanya. “Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tunggal”,ucap Nur Dhuha dalam hati. Hati Nur Dhuha sedikit dipalu debar. Maklumlah hari ini merupakan hari pertama tugasnya sebagainya seorang guru. Ketika melepasi pintu pagar utama sekolah, matanya sempat terlihat kelakuan seorang pelajar yang baru tiba dengan menaiki kereta. Pemandu kereta itu pasti ayahnya kerana pelajar tersebut menyalami tangan lelaki itu dengan penuh tertib. Reaksi ayahnya selepas itu benar-benar menyentuh hati kecilnya. Si ayah membuka sedikit songkok yang berada di kepala anaknya lantas dicium dahi anaknya itu. SubhanaAllah. Terharu dia melihat keikhlasan si ayah menghantar anaknya ke sekolah. Nur Dhuha mula teringatkan dirinya. “Ikhlaskah hatiku untuk mendidik anak-anak bangsaku ini. Betul ke pilihan aku berada di sini. Ya Allah… bantulah aku dalam menempuh hari-hariku di sini.”
***************
            Malam kian larut. Nur Dhuha masih leka dengan buku-buku latihan yang masih banyak tersusun di hadapannya. Setiap kesalahan pelajarnya ditandakan dengan cermat. Dia telah diberikan tugas untuk mengajar matapelajaran Sains bagi tingkatan satu dan dua. Satu tugas yang agak melegakan hatinya kerana tidak melibatkan kelas peperiksaan iaitu tingkatan tiga. Namun, tugas mengajar tingkatan satu dan dua juga tidak harus dipandang ringan. Mendidik anak-anak remaja yang baharu mula untuk mengenal dunia. Terlalu banyak benda baharu yang harus dipelajari. Sifat ingin tahu yang sedang membuak pasti ada dalam jiwa setiap pelajar. Sifat itulah juga yang membuatkan Nur Dhuha meminati bidang sains. Dunia sains baginya adalah satu dunia yang sangat indah. Melihat ilmu Allah yang sangat luas. Itulah kata ayahnya dahulu.
            Ayahnya, Haji Karim bin Osman adalah individu yang banyak mempengaruhi jiwanya untuk meminati bidang sains. Ayahnya yang merupakan guru besar di sekolah rendah di kampungnya adalah seorang yang tegas dan penuh dengan disiplin. Sifat itu jugalah yang sedikit sebanyak mempengaruhi jiwa Nur Dhuha sekarang. Akibat sifat tegas dan degil mereka berdualah menyebabkan terjadinya satu pertengkaran antara mereka berdua suatu ketika dahulu. Peristiwa yang merubah halatuju hidup Nur Dhuha sekarang. Malam yang kian larut membawa ingatan Nur Dhuha kembali ke enam tahun dahulu.
            *************
 Enam tahun lepas – Oktober 2006
            “Mak, hari ini Dhuha balik lambat sikit ya. Ada projek sains di sekolah.” Jeritan Nur Dhuha yang kedengaran dari luar rumah membuatkan Mak Limah terhenti mencedok nasi lemak ke pinggan Haji Karim. Mak Limah memandang suaminya sambil tersenyum.
            “Tak habis-habis dengan projek sainsnya. Nak jadi saintis ke apa anak awak tu?”. Mak Limah ketawa kecil. Haji Karim yang mendengar memandang Mak Limah sejenak. “Mana boleh jadi saintis. Saya mahu dia ikut jejak saya. Jadi seorang pendidik. Besar pahala mendidik dan memberi ilmu ni”. Ujar Haji Karim sedikit tegas. Mak Limah yang mendengar hanya tersenyum. “Ikut abang haji la. Tapi jangan dipaksa pula anak awak tu. Nanti lain jadinya..” Haji Karim yang mendengar termenung jauh.
            Nur Dhuha merupakan satu-satunya anak perempuannya. Anak bongsu dari lima orang adik beradik. Kesemua anak lelaki Haji Karim memilih bidang pekerjaan yang berbeza-beza. Anak lelaki sulungnya kini berkhidmat sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat minyak di ibu kota. Anak kedua dan ketiganya memilih bidang pertanian sebagai kerjaya mereka. Mahu berbudi kepada tanah kata mereka apabila Haji Karim mula banyak bertanya. Haji Karim masih lagi punya harapan kepada dua anaknya untuk mengikut jejak langkahnya. Namun, apabila anak lelaki keempatnya awal-awal sudah ditawarkan biasiswa ke luar negara dalam bidang kedoktoran, harapan Haji Karim hanya terletak pada Nur Dhuha. Anak bongsu perempuannya. Sedari awal lagi dia sudah menanamkan minat mendidik kepada anak perempuannya itu. Nur Dhuha sering diajak ke sekolah tempatnya mengajar untuk memberikan tuisyen percuma kepada anak-anak kampung yang lemah dalam pelajaran. Tugas sebagai guru besar di sebuah sekolah kampung membuatkan Haji Karim nekad menyumbangkan sepenuh bakti dan tenaga bagi melihat anak bangsanya maju dan berjaya. Nur Dhuha juga dilihat cenderung mengikut jejak langkahnya. Namun, semenjak akhir-akhir ini Haji Karim melihat kecenderungan itu semakin hilang. Nur Dhuha seakan mempunyai minat yang berlainan.  Dia semakin sibuk dengan bermacam-macam projek sains di sekolahnya. Dan kata-kata isterinya tadi semakin membuatkan Haji Karim tidak senang duduk. Petang nanti dia akan mula bertanyakan Nur Dhuha. Impiannya untuk melihat seorang anaknya mengikut jejak langkahnya harus dipastikan tercapai. Dia harus memastikan legasi pendidik di dalam keluarganya diteruskan.
            **************
            “Dhuha, malam ini kelab astronomi nak buat cerapan. Awak nak ikut sekali tak?”. Raudhah yang sedang sama-sama mengemas barang eksperimen yang baru sahaja mereka selesai siapkan tadi memandang sejenak ke arah Nur Dhuha. Nur Dhuha hanya mendiamkan diri. Fikirannya sibuk memikirkan alasan yang dia mahu berikan kepada ayahnya. Sudah banyak kali dia terlepas peluang untuk mengikuti aktiviti cerapan kelab astronomi sekolahnya. Kali ini dia betul-betul mahu turut serta. Tekadnya untuk mendalami ilmu sains angkasa harus dimulakan mulai sekarang. Cita-citanya adalah untuk mengkaji setiap juzuk di langit. “Bintang, planet, meteoroid, komet...” Nur Dhuha tersenyum sendiri apabila teringatkan objek-objek di langit itu.
Impian untuk mengkaji setiap juzuk langit itu bermula apabila ayahnya membawa dia melawat Pusat Sains Negara ketika cuti akhir tahun sewaktu dia di tingkatan tiga. Hadiah sempena dia mendapat 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah(PMR). Dia yang baru kali pertama ke sana seperti rusa masuk kampung. Semuanya membuatkan dia terpegun. Keluar sahaja daripada Pusat Sains Angkasa itu,dia sudah memasang cita-cita baharu. Menjadi seorang saintis. Namun cita-citanya itu hanya dipendam di dalam hati. Dia tahu bahawa ayahnya memang mahukan dia menjadi seorang guru. Meneruskan legasi keluarga pendidik yang bermula dari moyangnya. Bukan dia tidak mahu menjadi seorang guru, tetapi bidang angkasa ini benar-benar membuatkan dia gembira. Dia gembira untuk mengkaji objek-objek yang jauh di luar sana.
Sekarang dia sudah berada di tingkatan lima. Tahun depan dia akan mula melanjutkan pelajaran. Perkara inilah yang semakin hari merungsingkan Nur Dhuha. “Tak apalah, nanti bincang baik-baik dengan ayah. Pasti ayah benarkan aku teruskan cita-citaku ini”. Nur Dhuha menenangkan hatinya sendiri. Balik nanti dia akan minta kebenaran ayahnya untuk ke sekolah malam ini. Kebetulan abangnya yang sulung akan pulang ke rumah petang ini. Ayahnya pasti sibuk bermain dengan cucu-cucunya. Nur Dhuha tersenyum riang.
            ***************
            “Mak, malam ni Dhuha ada aktiviti dekat sekolah. Mak tolong Dhuha boleh...” Nur Dhuha mula memujuk sambil memeluk erat lengan emaknya. Emaknya yang melihat hanya tersenyum. Mak Timah sudah mengetahui pasti aktiviti yang dimaksudkan oleh Nur Dhuha itu melibatkan aktiviti sainsnya. “Mak bukan tak mahu tolong Dhuha tapi sebaiknya Dhuha bagitahu ayah sendiri ya. Nanti bila Dhuha cakap dekat ayah, mak tolong la tambah sikit-sikit supaya Dhuha dapat ke sekolah malam ini”. Mak Timah mengusap lembut kepala anaknya. Nur Dhuha yang mendengar terus mengangkat kepalanya sambil tersenyum. “Terima kasih mak. Sayang mak!”. Pipi emaknya itu dicium mesra. Mak Timah hanya tersenyum melihat anak bongsunya itu yang mula beredar ke bilik air.
            ***************
            “Ayah, malam ni ada aktiviti cerapan dekat sekolah. Kelab Astronomi yang kendalikan. Dhuha nak pergi, boleh ayah?”. Haji Karim yang sedang membaca surat khabar di beranda rumah memandang Nur Dhuha yang sudah mula melabuhkan punggungnya ke kerusi di hadapannya. Muka anaknya itu dipandang lama. Sedikit pucat dilihat muka Nur Dhuha. Mungkin takutkan jawapan yang keluar dari mulut Haji Karim. Mak Timah yang datang membawa kopi panas dan kuih seri muka di dalam pinggan sedikit tersenyum memandangnya. “Bagi la Nur Dhuha pergi. Dah lama rasanya dia teringin nak ikut serta program sekolahnya tu. Along kan ada. Boleh dia tolong hantarkan Nur Dhuha malam ni”. Mak Timah memandang Haji Karim dengan pandangan yang sengaja diredupkan. Hati Haji Karim harus dilembutkan dahulu.
            “Baiklah,ayah benarkan Dhuha pergi malam ni. Tapi balik sahaja dari sekolah malam ni, ayah nak cakap sikit dengan Dhuha”. Haji Karim memberi kata putus. Nur Dhuha yang mendengarnya sedikit lega walaupun hatinya dilanda resah juga memikirkan benda yang ingin diperkatakan oleh Haji Karim malam nanti.
*******************
            “ Planet Zuhal merupakan planet yang keenam di dalam sistem suria kita. Planet ini sangat cantik kerana ia dikelilingi oleh gegelang yang terdiri daripada batuan-batuan yang mengandungi pelbagai unsur kimia yang membolehkan ia kelihatan berwarna-warni..”. Penerangan oleh Cikgu Amir berkenaan planet Zuhal amat menarik perhatian Nur Dhuha. Sebentar lagi mereka akan memulakan cerapan. Sekarang mereka berada di bulan Oktober. Mengikut kiraan, bulan ini mereka akan dapat melihat planet Zuhal dengan jelas sekali apabila menggunakan teleskop yang berkuasa sederhana. Nur Dhuha begitu teruja kerana ini merupakan kali pertama dia menyertai cerapan yang dianjurkan oleh kelab astronomi sekolahnya.
            “Nur Dhuha, nanti giliran awak pula”. Suara Raudhah yang berada di tepinya membuatkan Nur Dhuha sedikit tersentak. Dia melihat Ikmal kawan sekelasnya sudah tersenyum simpul selepas berjaya melihat planet Zuhal dengan matanya sendiri. Nur Dhuha sedikit gementar apabila Cikgu Amir mula menganggukkan kepala kepadanya tanda gilirannya pula untuk melihat ciptaan Allah yang indah itu.
            Saat matanya menjamah kanta teleskop, jantungnya seperti berhenti berdegup. SubhanaAllah... Matanya telah melihat salah satu ciptaan Allah yang amat indah di alam ini. Objek yang berada beratus-ratus juta kilometer di atas sana sekarang berada betul-betul di hadapan matanya kini. Nur Dhuha dapat melihat dengan jelas gegelang yang melingkari sekeliling planet Zuhal. Indahnya ya Allah ciptaanMu. Kala itu, hatinya kuat mengatakan bahawa inilah cita-citanya. Tekadnya makin kuat. Dia harus berbincang secara baik dengan ayahnya berkenaan masa depannya nanti. Dia harus mempunyai tekad yang kuat untuk mencapai impiannya.
*******************
            Suasana pagi Jumaat yang sepatutnya tenang sedikit kecoh di rumah Haji Karim. Nur Dhuha dilihat memegang kemas tangan Mak Timah. Haji Karim berdiri tegak memandang ke luar di birai beranda. Abang sulung Nur Dhuha, Firdaus hanya memandang sepi.
            “Ayah tetap dengan keputusan ayah, Dhuha. Dhuha sahajalah satu-satunya harapan ayah. Ayah harap Dhuha fikirlah baik-baik. Ini semua demi masa depan Dhuha juga”. Haji Karim masih berkeras dengan keputusannya. Air mata Nur Dhuha sudah mula mengalir perlahan dari pelupuk matanya.
            “Tapi ayah, ini impian Dhuha. Dhuha mahu capai apa yang Dhuha impikan selama ini”. Jawapan Nur Dhuha yang sedikit keras diselangi dengan esakkan kecil membuatkan Mak Timah memegang erat tangan anaknya itu. “Dhuha.... Jangan berkeras lagi sayang..” Mak Timah lembut memujuk. Firdaus yang melihat kedegilan ayah dan adiknya sedikit mengeluh. Dia amat memahami hasrat ayahnya untuk menjadikan Nur Dhuha seorang guru sepertinya. Namun, di suatu sudut yang lain, Nur Dhuha juga harus diberi peluang untuk melakukan apa yang dia inginkan selama ini.
            “Ayah, Aus rasa baiklah kita bincang hal ini lain kali. Dhuha, pergilah masuk bilik dulu”. Firdaus memandang lama ke arah adiknya. Nur Dhuha yang sudah mula teresak-esak di kerusi segera melangkah masuk sambil dipimpin emaknya.
            “Ayah, kita duduk dulu..” Firdaus memegang lembut lengan Haji Karim. Pandangan mata ayahnya selepas itu membuatkan Firdaus sedikit hiba.
            “Ayah sayang anak-anak ayah. Ini juga impian ayah,Aus. Impian datuk nenek Aus juga. Ayah tidak mahu memaksa Dhuha, namun ayah juga tidak mahu hampakan harapan keturunan kita”. Ayat-ayat yang keluar dari mulut Haji Karim membuatkan Firdaus hilang kata. Dia harus lakukan sesuatu sebelum segala-galanya menjadi semakin rumit. Adiknya, Nur Dhuha harus dibawa berbincang.
*******************
            Bunyi cengkerik yang datang dari pokok-pokok di belakang rumah membuatkan Nur Dhuha sedikit terhibur. Sudah dua hari semenjak peristiwa pertengkaran dia dan ayahnya berlalu. Nur Dhuha masih lagi memendam rasa. Dia hanya keluar ketika waktu makan. Selebihnya, masanya banyak dihabiskan di dalam bilik. Nur Dhuha bukan mahu menjadi anak derhaka, namun dia sedikit terasa dengan sikap ayahnya yang tidak mahu memahami perasaannya sekarang. Lagipun, inilah kali pertama dia membantah cakap ayahnya.
            Bunyi ketukan kecil di pintu bilik membuatkan Nur Dhuha mengalih pandang ke arah pintu biliknya.
“Dhuha, ini Along. Boleh Along masuk?”. Suara abang sulungnya kedengaran jelas di luar pintu biliknya.
“Masuklah.....”. Nur Dhuha segera beralih duduk di kerusi meja belajarnya apabila dia melihat pintu biliknya mula terbuka. Buku latihan matematik tambahan diselak laju. Nur Dhuha berpura-pura sibuk menyiapkan latihan.
            “Dhuha sibuk ke? Along mengganggu Dhuha ke ni....”. Firdaus meletakkan punggungnya di birai katil Nur Dhuha. Dia memiringkan badannya menghadap ke arah Nur Dhuha yang jelas kelihatan berpura-pura sibuk dengan buku latihannya. Firdaus tahu yang adiknya sedang mengelak untuk bercakap dengannya.
“Along nak cakap sikit boleh..”. Nada suara Firdaus yang sengaja dilunakkan sedikit berjaya membuatkan Nur Dhuha beralih duduk. Kerusi belajarnya digerakkan menghadap ke arah abangnya itu.
            Wajah Nur Dhuha dipandang lama. Jelas kelihatan ada riak-riak resah di wajah kecil itu. Firdaus sedar adiknya itu kini juga sedang bermain dengan perasaannya. Hubungan ayah dan adiknya amat rapat selama ini. Apabila hal pertengkaran ini berlaku pasti adiknya itu sungguh terasa.
            “Dhuha, Along harap Dhuha dapat dengar apa yang Along nak cakap ini dengan baik-baik ya. Along tidak akan berpihak pada mana-mana pihak. Sebagai abang sulung, Along hanya mahu yang terbaik untuk adik Along”. Wajah Nur Dhuha sedikit redup. Dia sudah mengagak pasti Along mahu memujuknya.
            Firdaus mengambil nafas sebelum menyambung bicaranya. “Dhuha tahu kan Along sayang adik-adik Along ...”. Firdaus melihat adik bongsunya itu menganggukkan kepala. Dia mula mengatur kata. “Sepanjang kita membesar, Along pasti Dhuha yakin yang ayah adalah antara ayah yang terbaik di dunia ini. Ayah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Bagi Along sendiri, ayahlah idola Along selama ini. Dalam tegas, ayah sampaikan kasih-sayangnya kepada kita sehinggalah kita membesar dengan sempurna. Cukup diberikan makan, pakaian serta keselesaan hidup seperti orang lain. Ayah jugalah yang banyak membimbing kita dalam ilmu dunia dan akhirat..”. Firdaus berhenti sejenak sambil memandang wajah Nur Dhuha. Dilihat mula ada manik-manik halus yang menitis perlahan dari wajah polos itu.
            “Keturunan kita adalah dari keturunan yang cintakan ilmu. Bukan sahaja ilmu dunia malah ilmu akhirat. Sebab itulah, moyang kita dahulu menjadikan guru sebagai punca pendapatan mereka. Pada zaman dahulu gaji seorang guru ni bukanlah mahal namun sebab cintakan ilmu, moyang kita tetap mengajar bagi menyampaikan apa yang terbaik untuk hidup ini. Menjadi seorang guru bagaikan sudah sebati dalam diri keturunan kita. Setiap keluarga pasti akan ada seorang yang akan menjadi seorang guru. Sehinggalah kepada keluarga kita sekarang. Along pasti Dhuha akan rasa yang Along juga tidak adil untuk Dhuha. Kenapa Along sahaja yang tidak memilih untuk jadi seorang guru sedangkan Along yang sulung? Along minta maaf banyak-banyak kalau Along juga pentingkan diri Along dahulu. Tapi percayalah ya Dhuha, Along yakin jiwa pendidik itu ada dalam diri Dhuha. Hanya kepada Dhuha sahaja harapan yang ayah sandarkan. Along harap Dhuha dapat buat keputusan dengan baik ya, dik..”. Firdaus memandang lama ke wajah kecil adiknya itu. Wajah yang kini sudah basah dengan air mata.
            Nur Dhuha memandang wajah keruh abangnya. Dia amat mengerti sekarang kenapa ayahnya begitu bersungguh-sungguh untuk menjadikan dia seorang guru. Walaupun masih terasa bahawa kenapa segala amanat moyangnya tergalas di bahunya, Nur Dhuha akur. Dia tahu hanya kepada dia sahajalah harapan disandarkan.
            “Tak apa Along, Dhuha faham ....”. Bunyi cengkerik yang makin kuat disusuli dengan dengungan katak membuatkan suasana malam kian terasa. Nur Dhuha pasrah jika ini pilihan yang harus dia pilih.

****************
2 Januari 2012-11 malam
Malam yang kian larut rupanya telah jauh membawa Nur Dhuha ke enam tahun dahulu. Nur Dhuha mengalih pandangannya ke arah teleskop yang tersandar kemas di hujung katil. Hadiah dari ayah sewaktu dia menerima surat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti of Leeds dalam bidang pendidikan. Seorang ayah yang amat memahami jiwa anaknya. Nur Dhuha masih ingat kala itu dia tanpa segan selu memeluk kemas ayahnya dengan linangan air mata. Dia amat sayangkan ayahnya. Walaupun kata ayah pernah dibantah, dia tahu yang pilihan ibu bapalah yang amat terbaik untuk seorang anak. Dia telah merasainya. Sepanjang berada di bumi asing, Nur Dhuha telah berjaya menjelajah ke banyak negara bagi melihat keindahan alam. Teleskop kecil pemberian ayahnya juga telah menemaninya sepanjang masa. Dia telah mengikuti banyak program pencerapan sepanjang dia berada di bumi Leeds. Pengalaman yang tidak dapat diganti dengan apa-apa. Bidang pendidikan juga adalah satu bidang yang amat mencabar. Rupanya ilmu Allah ini tiada batasannya. Semakin banyak dia belajar, semakin banyak benda yang dia mahu tahu.
Hatinya kini makin tenang. Cita-citanya untuk bergelar seorang saintis rupanya tanpa sedar dia telah kecapinya. Tekadnya hanya satu kini. Dia berazam untuk melahirkan lebih ramai lagi bakal saintis masa hadapan di kalangan bangsa melayu sendiri. Ya Allah...Kau berikanlah aku kekuatan serta keikhlasan untuk mendidik anak-anak bangsaku.
“Ayah, terima kasih kerana menyedarkan Dhuha bahawa dengan ilmu manusia akan diangkat martabatnya......”. Nur Dhuha berbisik kecil sambil memandang lama pada wajah ayahnya di dalam potret keluarga yang terletak kemas di atas meja. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.
                                                               TAMAT

Sunday, November 25, 2012

Cerpen Ketiga ~ Sesudah Hujan Teduh ~



SESUDAH HUJAN TEDUH
 ~ Hujan itu pembawa rahmat ~
Bunyi air hujan yang jatuh ke atap zink di luar bangunan asrama Desasiswa Gemilang membuatkan Najihah terpanggil untuk menjenguk ke luar. Sudah agak lama hujan tidak turun di bumi Minden ini. Sekarang sudah menghampiri penghujung bulan Oktober. Maknanya, musim tengkujuh sudah mahu bermula. Angin sejuk yang tiba-tiba sahaja menampar pipi Najihah membuatkan dia sedikit menggigil. Pokok besar di luar biliknya yang berdaun lebat umpama sebuah payung besar. Najihah sedikit simpati apabila melihat seekor kucing yang duduk terbaring kesejukan di bawah pokok besar itu. Dia yang sudah berfikir-fikir mahu keluar mengambil kucing itu terhenti apabila melihat seorang lelaki berlari dengan payung yang dipegang kemas di tangannya. Najihah memerhati dengan penuh minat. Lelaki tersebut dengan cekap memeluk kucing berbulu putih itu dengan sehelai kain. Najihah yang melihat sedikit terkesima. “Baiknya hati dia”. Bisik hati Najihah. Seketika kemudian, dia melihat lelaki itu  berjalan pantas ke arah asrama putera yang betul-betul bersebelahan dengan asramanya. “Siapalah lelaki baik hati itu”. Pintu bilik yang dibuka secara tiba-tiba membuatkan Najihah segera menoleh.
“Kau nak makan tak? Farah dengan Mima dah siap. Kitorang tunggu engkau je ni..” Nora menyapa dengan kepala yang terjengul di balik pintu.
“Okey, aku siap sekejap”.
Najihah mula melangkah ke arah almari pakaiannya apabila tiba-tiba sahaja angin kuat membuai langsir tingkapnya dan menampakkan asrama putera di hadapan. Apabila terpandangkan blok asrama itu, Najihah tersenyum. Hari pertama bumi Minden dibasahi hujan  telah memberikan memori indah padanya.
*******************
~ Hujan itu memberikan harapan ~
“Najihah, nota Data Analysis kau lengkap tak? Aku pinjam boleh?”. Nora berjalan masuk ke biliknya dengan sengihan panjang. Najihah yang sedang mencoret kembali hafalan nota Meteorologi II pada kertas kajang hanya menunjuk ke arah buku tebal di sisinya. Nota Data Analysis memang agak tebal untuk semesta ini.
Peperiksaan akhir semesta mereka akan bermula tidak lama lagi. Minggu depan sudah bermula minggu ulangkaji, jadi inilah minggu terakhir bagi semua pelajar untuk membuat segala jenis persiapan. Baik mental mahupun fizikal. Jika berada di Perpustakaan Hamzah Sendut II, suasananya sudah mula kelihatan seram. Ya lah, semuanya sudah sibuk mengulangkaji. Bagi Najihah, suasana di hujung semesta inilah yang paling dia takuti. Exam mood.
Suasana di luar masih kelabu. Hujan yang turun di bumi Minden sudah masuk hari kedua. Najihah menoleh ke arah Nora yang masih kusyuk dengan nota Data Analysisnya. Suasana biliknya hening tanpa banyak bunyi yang boleh didengar. Hanya kedengaran bunyi deruan kipas yang sedang berpusing dengan kelajuan sederhana disusuli dengan bunyi titisan-titisan hujan yang menitik di atas atap zink di luar biliknya. Najihah yang memang sukakan hujan merasa terpanggil untuk mengintai di luar. Dia bergerak bangun sambil memusing-musingkan pinggangnya ke kiri dan ke kanan. Membetulkan urat kerana sudah hampir sejam dia duduk di kerusi.
Nora yang mendengar dia menolak kerusi menoleh ke arahnya. “Kau dah habis study ke?”. Soalan Nora dibalas dengan gelengan. “Baru habis hafal separuh. Nak rehat sekejap la. Kau dah siap ke?”. Nora juga membalas dengan gelengan. “Banyak la nak kena fahamkan balik..”. Najihah mengangguk pantas. “Betul la. Aku pun masih banyak yang tak berapa nak faham. Takut jugak ni”. Najihah termenung sejenak. Dia melihat Nora juga ikut sama termenung. Tiba-tiba dia merasa bersalah kerana membuat kawan baiknya itu ikut risau. “Uhm... tak apa Nora. Nanti kita study sama-sama. InsyaAllah, aku yakin pasti kita akan dapat faham jugak nanti”. Najihah membuat muka positif dengan senyuman yang sengaja dilebarkan. Nora yang melihat kelakuan Najihah hanya ketawa kecil. “InsyaAllah. Aku yakin dengan muka positif kau tu”.
Nora mula mengemaskan buku-bukunya di meja. Najihah yang melihat sedikit lega walau hatinya masih lagi risau memikirkan peperiksaan yang bakal tiba dua minggu lagi. Keputusan semester lepas yang belum mencapai tahap yang dia inginkan membuatkan dia sedikit bimbang. Dia sudah berada pada tahun kedua. Hanya tinggal dua semester lagi sebelum dia menghabiskan pengajiannya. Selepas itu dia akan mula melangkah ke alam pekerjaan yang masih kabur di dalam mindanya. Bernasib baikkah dia selepas keluar nanti? Persoalan yang saban hari menjengah mindanya takkala dia duduk bersendirian.
“Jihah, aku balik bilik dulu la ya. Nanti lepas solat zohor, aku datang balik. Kelas kita start pukul tiga kan? Sempat la kita pergi makan dulu sebelum pergi kelas”. Nora yang sudah siap mengepit segala macam buku di tangannya menoleh ke arahnya yang masih tercegat di sisi meja studynya. “Ha ah. Kelas kita pukul tiga. Kelas last Prof. Loke. Sempat je kita pergi makan dulu”. Najihah membalas soalan Nora sambil tangannya sibuk menyusun buku-buku di mejanya.
 “Jihah, insyaAllah. Kita akan okey semester ni.” Nora yang sudah mula membuka pintu bilik tersenyum memandangnya. “Aku tahu kau risau. Jangan bimbang sangat ya”. Najihah yang mendengar kata-kata Nora turut sama tersenyum. “InsyaAllah”.
Hujan yang masih turun dengan lebatnya di luar seakan-akan mengerti perasaan Najihah. Najihah menyelak sedikit langsir biliknya lalu melihat ke luar. Langit masih lagi kelabu. Menampung awan gelap yang saiznya semakin besar. Musim hujan di bumi Minden untuk tahun kedua memberikan dia perasaan yang sukar dimengertikan. Dia harus berjaya di sini. Berjaya untuk menggenggam segulung ijazah. Itulah impian yang dia pasang semenjak hari pertama dia berada di bumi Minden ini.
Angin kuat datang menyerbu secara tiba-tiba membuatkan langsir yang dipegang kemas terlepas dari tangan. Najihah pantas menutup langsir apabila angin sejuk mula menampar pipinya. Tanpa sedar, ada sepasang mata yang sedang memerhati tingkah Najihah dari jauh.
**************
Pintu bilik tutorial ditutup dengan perasaan yang sedikit lega. Kelas terakhir bagi subjek Geofizik Kejuruteraan di bawah kendalian Profesor Loke berakhir dengan peruncingan bab penting untuk peperiksaan nanti. Angin Prof. Loke baik rasanya semester ini. Tidak pernah lagi pensyarahnya itu memberikan bab peruncingan sebelum ini. Mungkin inilah peluang yang Najihah ada untuk mendapatkan gred yang lebih baik dalam peperiksaan akhir semester nanti. Dapatlah dia memperbaiki pointernya. Alhamdulillah. Najihah tersenyum riang. “Balik bilik sahajalah. Sambung study dekat bilik pun okey jugak”. Najihah membuat keputusan sambil hatinya mula bernyanyi irama rancak. Gembira betul dia hari ini.
Najihah mula melangkah menuruni tangga bilik tutorial blok D4. Dia sedikit berhati-hati kerana di tangannya penuh dengan segala macam barang. Buku nota yang agak tebal ditambah pula dengan buku latihan, pencil boxnya yang bersaiz besar serta sekaki payung yang tersangkut di lengan menyukarkan dia untuk melangkah dengan cepat. Ketika kakinya sudah hampir sampai ke tangga yang terakhir, tiba-tiba sahaja lengan baju kurungnya tersangkut pada palang tangga. Dia yang sudah mula hilang keseimbangan badan hanya pasrah apabila badannya mula terhuyung-hayang.
“Allahu Akhbar....”. Najihah sudah terjelepuk ke lantai. Saat itu dia rasakan baik sahaja dia berpura-pura pengsan. Malunya. Kenapalah nasib baiknya hari ini tidak berpanjangan. Kawan baiknya, Nora pula tiada. Awal-awal sudah lesap entah ke mana. “Adoi.. Harap-harap janganlah ada orang yang aku kenal lalu dekat sini”. Najihah cepat-cepat mengutip buku serta pencil boxnya yang sudah tercampak jauh. Dia mencari-cari payungnya apabila tiba-tiba sahaja dia melihat kaki seseorang menghampiri tempat dia sedang terduduk sekarang.
Najihah terus bangun sambil membetul-betulkan baju kurung serta tudung di kepalanya. Dia mendongak kepalanya kepada tuan punya kaki yang telah menghampirinya tadi. Namun tika dia memandang kepada empunya badan yang menghampirinya itu,dia seperti telah di freezekan. Beku dan kelu. Lelaki yang memakai kemeja berwarna krim serta seluar slack coklat dengan tack pelajar yang tergantung di leher memberikan dia satu pandangan yang aneh. Dia seperti pernah melihat lelaki itu. Tapi dia tidak pasti di mana.
“Saudari, payung awak”. Lelaki itu menghulur payung pink berbunga halus milik Najihah. Dia yang masih beku berdiri, sedikit tersentak. Cepat-cepat dicapainya payung yang dihulur.
“Terima kasih”. Najihah sedikit gugup mengucap kata. Dia melihat lelaki yang bermata bundar itu hanya tersenyum kecil.
“Sama-sama”. Lelaki yang baik hati itu mula meninggalkan Najihah, menaiki tangga menuju ke bilik tutorial di tingkat atas. Seketika kemudian dia hilang di celah-celah pelajar yang mula berpusu keluar dari bilik tutorial.
Najihah masih di situ. Kepalanya mula sarat dengan maklumat yang dia pernah melihat lelaki itu. Tapi dia tidak pasti di mana. “Siapa ya.....”. Najihah amat yakin yang dia memang pernah melihat lelaki tersebut. Kepalanya yang sudah penuh dengan bermacam jenis maklumat tidak dapat mencerna dengan baik ingatannya berkenaan lelaki bermata bundar yang sudah membuatkan hati Najihah sedikit tidak keruan tadi. Najihah mula mengatur langkah meninggalkan ruang blok tutorial dengan mindanya masih memikirkan gerangan lelaki budiman yang telah menolongnya tadi. Hujan yang turun di luar bangunan blok tutorial D4 memberikan suasana yang menyenangkan. Sejuk dan damai. Tanpa sedar, langkah Najihah turut diiringi pandangan seseorang dari tingkat atas blok tutorial itu. Pandangan dari seseorang yang mungkin akan merubah hidup Najihah suatu hari nanti.
*************
~Hujan menghantar memori itu kembali~
Bunyi dengungan katak yang kuat di luar menarik minat Najihah untuk mengintai. Tabir langsir di singkap sedikit. Najihah memandang ke arah titis-titis hujan yang masih turun dengan lebatnya. Hari ketiga hujan di penghujung bulan Oktober. Sebentar tadi dia telah menelefon Nora memberitahu yang dia tidak jadi untuk ikut keluar ke bandar. Hari ini sudah hari Jumaat. Ini bermakna Isnin hadapan sudah bermula minggu ulangkaji. Najihah akan memulakan kertas pertama examnya pada Isnin minggu pertama peperiksaan. Ini bermakna dia betul-betul mempunyai masa seminggu untuk bersedia menghadapi kertas pertamanya.
Semalam dia telah menelefon emaknya di kampung. Sempat juga emaknya menitip pesan supaya memperbanyakkan lagi solat hajat dan membaca yasin. Amalan yang selalu emaknya pesan ketika setiap kali dia akan menghadapi peperiksaan. Di kalangan adik-beradiknya, dia memang terkenal dengan sifat yang kalut dengan peperiksaan. Dia masih ingat, dia pernah mengalami demam seminggu ketika peperiksaan SPM hanya tinggal dua minggu untuk ditempuhi. Ketika itu puaslah emaknya mencari air sembahyang hajat dari ustaz di kampungnya, bagi menguatkan semangat di anak yang bernama Najihah. Peristiwa itu masih segar di ingatan dan sering mengundang senyum di bibir jika terkenangkannya. Najihah amat sayangkan emak. Dia harus membalas segala jasa dan penat lelah emak membesarkannya setelah ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan di tempat kerja. Ayahnya yang bekerja di Singapura sebagai pengimpal kapal meninggal akibat terjatuh ketika bekerja di limbungan. Dia yang masih di sekolah rendah ketika itu betul-betul merasakan kehilangan seorang lelaki yang bergelar ayah. Dia masih ingat ketika jasad ayahnya di bawa ke kubur, emak telah memeluk dia dan adik beradiknya yang lain dengan linangan air mata di pipi. Kata-kata emak ketika itu masih jelas di ingatannya. “Emak akan besarkan semua anak emak sampai berjaya”. Walaupun saat itu dia hanya berumur sepuluh tahun, kata-kata emaknya itu telah membuatkan dia memasang tekad untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga ke menara gading.
Guruh kuat berbunyi di langit diselangi dengan bunyi dengungan katak yang bersahut-sahutan di luar bilik. Najihah yang masih berdiri di birai tingkap memandang ke dada langit. Hujan yang masih lebat membasahi bumi memberi isyarat belum mahu berhenti. Namun, hukum Allah mengatakan sinar mentari itu pasti akan terbit setelah Dia turunkan hujan yang lebat ke bumi. Begitulah juga dengan kehidupan manusia. Setelah bersusah payah pasti kemenangan akan muncul. Najihah menggenggam erat tangan kanannya.
“Najihah akan berusaha mak. Sampai berjaya ......”. Tekad Najihah di dalam hati.
*****************
~Hujan itu pembawa semangat~
Hari-hari yang berlalu terasa sungguh cepat. Minggu ulangkaji bagi semua pelajar Universiti Sains Malaysia bagi penggal ini sudah menghampiri penghujungnya. Semua tempat dapat dilihat para pelajar mengelek bermacam jenis buku. Bermula dari School of Managemant sehinggalah ke Pusat Bahasa, semua pelajar sibuk dengan buku masing-masing. 
Bagi Najihah, dia merasa sudah hampir bersedia untuk menghadapi peperiksaan kali ini. Study discussion yang dibuat bersama rakan-rakannya banyak membantu. Mereka juga telah banyak merujuk kepada pensyarah setiap kali menghadapi masalah dalam memahami konsep-konsep yang dirasakan sukar. Keyakinan yang setiap sesuatu yang sukar itu pasti ada jawapannyalah membuatkan Najihah semakin yakin untuk menghadapi peperiksaan semester kali ini.
Pesanan daripada emaknya juga banyak memberikan dia semangat di kala dia merasa semakin lemah untuk mengharungi saat-saat genting ini. “Peperiksaan hanyalah menjawab persoalan daripada seorang pensyarah, bukannya menjawab persoalan daripada Allah. Tiada apa yang perlu Najihah takutkan, ya nak ...”. Emaknya yang sedang memarut kelapa untuk dimakan bersama pulut bagi sarapan mereka sekeluarga, tersenyum kepadanya. Senyum emak manis sekali ketika itu. Kata-kata emak umpama satu azimat penyembuh duka. Hatinya menjadi kuat. Imannya semakin mantap. Emak menyedarkan dia yang tiada apa yang perlu ditakutkan di dunia ini kecuali kepada Allah, Penguasa Alam ini.
Jam di meja belajar Najihah telah menjejak ke angka 10.35 malam. Najihah melipat sejadah serta telekung sembahyangnya lalu disangkut ke palang besi di bahagian tepi pintu bilik. Dia baru sahaja selesai menunaikan solat hajat. Malam ini dia sengaja memanjangkan waktu solatnya. Usai solat isyak tadi, dia terus membaca surah yasin disusuli dengan solat hajat. Pagi esok, perjuangannya akan bermula. Peperiksaan kertas pertama bagi semester ini dimulai dengan subjek Meteorologi II. Hanya ketenangan sahaja yang dia dambakan saat ini.
Najihah beredar ke meja studynya. Fail putih yang di dalamnya terdapat slip peperiksaan serta kertas panduan peperiksaan dilihat lama. Najihah memastikan sekali lagi bahawa slip peperiksaannya mengandungi maklumat yang betul. Setelah memastikan angka serta huruf-huruf yang tercatat pada slip itu betul dan lengkap, Najihah membuka buku nota Meteorologi II yang sudah banyak bertanda dengan kertas-kertas berwarna. Dia sekadar menyemak buat kali terakhir.  
Angin kuat tiba-tiba menyerbu masuk. Najihah sedikit tersentak apabila langsir biliknya terpukul ke luar bilik. Hujan yang hanya renyai-renyai tadi rupanya sudah bertukar lebat. Daun tingkap biliknya mungkin tidak dikemaskan menyebabkan ia terbuka secara tidak sengaja.
Najihah segera menarik langsir biliknya daripada terkena tempias hujan sambil matanya dihala ke arah pohon besar yang masih jelas kelihatan walaupun pada waktu malam. Tiba-tiba ingatan Najihah terlempar kepada peristiwa dua minggu lepas. Peristiwa pada hari pertama hujan membasahi bumi Minden. Pohon besar - anak kucing - lelaki yang baik hati. Apabila terbayangkan wajah si baik hati, Najihah tiba-tiba seperti dilanda dejavu. Si baik hati yang menyelamatkan kucing dan si baik hati yang memegang payung pinknya sambil berkata “Saudari, payung awak” mempunyai wajah yang sama.
“Ya Allah. Dia ke?..” Najihah ketika itu sudah seperti mahu menjerit. Akhirnya dia menemui jawapan bagi persoalan yang ada di mindanya sejak minggu lepas. Lelaki yang menolong ketika dia terjatuh hari itu adalah orang yang sama dia lihat menolong seekor kucing yang kesejukan di bawah pokok besar yang kini sedang dipandangnya. Nampak gayanya dia memang kini akan difreezekan. Hujan yang semakin menggila di luar serta diselangi dengan guruh yang berdentum di langit memaksa Najihah untuk cepat-cepat menutup tingkap. Dia bersandar lega di kerusi sambil tersenyum. Akal nakalnya tiba-tiba membisikkan kata mengatakan kemungkinan dia dan si baik hati berjodoh. Namun apabila terpandangkan slip peperiksaan serta buku nota yang sedang terbuka di hadapannya, Najihah cepat-cepat beristighfar. Dia harus memfokuskan fikiran untuk peperiksaan esok hari.
“Fokus Najihah...fokus....”. Najihah menenangkan diri sambil menarik nafas panjang. “Peperiksaan lebih penting sekarang Najihah!”. Najihah merapatkan badannya ke kerusi lantas tangan di tadah bagi mengaminkan doa penerang hati.  
********************
~Sesudah Hujan Teduh~
            Hawa dingin di dalam dewan peperiksaan membuatkan Najihah merapatkan baju sejuk nipis yang dipakainya.  Jam di tangan kiri dipandang sekilas. Dia yang masih mempunyai masa lebih kurang sepuluh minit sahaja lagi untuk menjawab kini sudah berada pada soalan yang terakhir. Najihah menarik nafas lega apabila dia selesai menghabiskan ayat yang terakhir pada helaian buku jawapan. Helaian-helaian kertas pada buku jawapan diselak satu persatu bagi memastikan jawapan yang ditulis mengikut kehendak soalan. Matanya turun naik membaca kembali jawapan yang sudah ditulis.
            “Alhamdulillah....”. Najihah menghela nafas lega sekali lagi. Dengungan suara kedengaran dari mikrofon pengawas peperiksaan di hadapan dewan memberitahu para calon agar berhenti menjawab kerana kertas jawapan akan mula dikutip sebentar lagi.
Najihah memandang lepas ke luar dewan peperiksaan. Langit mula memberikan sinar mentari walaupun masih kelihatan rintik-rintik halus air hujan . Sudah hampir dua minggu bumi Minden basah. Bagi Najihah, basahnya bumi Minden memberikan dia semangat untuk mengharungi hari-hari yang sukar bagi semester ini. Semester pengajian yang memberikan dia satu dimensi baru dalam hidup. Pelbagai pahit manis yang sudah dia tempuh.
            “Jihah! Jom kita balik!” Nora sudah tersenyum lebar di hadapan Najihah membuatkan Najihah pun tersenyum sama.
            “Jomla..”
            Ruang legar di luar dewan peperiksaan penuh sesak dengan pelajar ketika Najihah menolak pintu keluar. Dia cepat-cepat beralih ke arah rak menyimpan beg apabila dilihat Nora sudah mula menghilang. Kebanyakkan pelajar pasti mahu cepat sampai ke cafe. Ya lah, tenaga sudah habis digunakan untuk bertarung di dalam dewan peperiksaan tadi jadi perut pasti minta diisi.
            Najihah sedikit terjengah untuk mengambil begnya kerana terhalang oleh seorang pelajar perempuan di hadapannya. Setelah berjaya mendapatkan beg serta payung yang tersangkut kemas di tali backpacknya, dia bergerak ke tepi dewan untuk memasukkan pencil box serta sweater nipis yang sudah ditanggalkan sebaik sahaja habis peperiksaan tadi. Tika itu, dia terpandangkan sekeping nota kecil yang tersangkut elok pada pemegang payung pinknya. Najihah sedikit berdebar. Tulisan yang kemas bertulis dengan pen berdakwat biru dipandang lama.

                                           Selamat Maju Jaya.
                                           Semoga saudari dapat menempuhi 
                                           peperiksaan kali ini dengan hati yang tenang.

                                                                                           Salam Persahabatan
                                                                                           Nazirul  Ikmal


          Najihah terkesima. Pandangan di tala ke sekeliling ruang legar dewan peperiksaan. Kedudukan Najihah yang berada di tepi koridor menyukarkan dia mengesan si pemberi kad misteri. Namun begitu, tiba-tiba matanya terhenti pada satu wajah yang amat dikenalinya sekarang. Wajah si penyelamat kucing. Malah wajah itu jugalah yang membantunya tempoh hari. Si pemilik wajah itu tersenyum memandangnya. Senyuman yang cukup manis buat Najihah. Senyuman yang membuatkan bibir Najihah secara terus turut sama menguntum senyum. Suasana di ruang itu cukup hening membuatkan hati Najihah dilanda perasaan yang cukup damai.
               Si mentari malu-malu menjengah di sebalik awan. Awan mendung sudah mula melarikan diri. Hujan sudah teduh. Begitu juga dengan hujan di hati Najihah. Berjuanglah Najihah di bumi Minden ini dengan hati yang tenang kerana bahagia itu pasti akan muncul jua.


TAMAT