Sunday, November 25, 2012

Cerpen Ketiga ~ Sesudah Hujan Teduh ~

SESUDAH HUJAN TEDUH
 ~ Hujan itu pembawa rahmat ~
Bunyi air hujan yang jatuh ke atap zink di luar bangunan asrama Desasiswa Gemilang membuatkan Najihah terpanggil untuk menjenguk ke luar. Sudah agak lama hujan tidak turun di bumi Minden ini. Sekarang sudah menghampiri penghujung bulan Oktober. Maknanya, musim tengkujuh sudah mahu bermula. Angin sejuk yang tiba-tiba sahaja menampar pipi Najihah membuatkan dia sedikit menggigil. Pokok besar di luar biliknya yang berdaun lebat umpama sebuah payung besar. Najihah sedikit simpati apabila melihat seekor kucing yang duduk terbaring kesejukan di bawah pokok besar itu. Dia yang sudah berfikir-fikir mahu keluar mengambil kucing itu terhenti apabila melihat seorang lelaki berlari dengan payung yang dipegang kemas di tangannya. Najihah memerhati dengan penuh minat. Lelaki tersebut dengan cekap memeluk kucing berbulu putih itu dengan sehelai kain. Najihah yang melihat sedikit terkesima. “Baiknya hati dia”. Bisik hati Najihah. Seketika kemudian, dia melihat lelaki itu  berjalan pantas ke arah asrama putera yang betul-betul bersebelahan dengan asramanya. “Siapalah lelaki baik hati itu”. Pintu bilik yang dibuka secara tiba-tiba membuatkan Najihah segera menoleh.
“Kau nak makan tak? Farah dengan Mima dah siap. Kitorang tunggu engkau je ni..” Nora menyapa dengan kepala yang terjengul di balik pintu.
“Okey, aku siap sekejap”.
Najihah mula melangkah ke arah almari pakaiannya apabila tiba-tiba sahaja angin kuat membuai langsir tingkapnya dan menampakkan asrama putera di hadapan. Apabila terpandangkan blok asrama itu, Najihah tersenyum. Hari pertama bumi Minden dibasahi hujan  telah memberikan memori indah padanya.
*******************
~ Hujan itu memberikan harapan ~
“Najihah, nota Data Analysis kau lengkap tak? Aku pinjam boleh?”. Nora berjalan masuk ke biliknya dengan sengihan panjang. Najihah yang sedang mencoret kembali hafalan nota Meteorologi II pada kertas kajang hanya menunjuk ke arah buku tebal di sisinya. Nota Data Analysis memang agak tebal untuk semesta ini.
Peperiksaan akhir semesta mereka akan bermula tidak lama lagi. Minggu depan sudah bermula minggu ulangkaji, jadi inilah minggu terakhir bagi semua pelajar untuk membuat segala jenis persiapan. Baik mental mahupun fizikal. Jika berada di Perpustakaan Hamzah Sendut II, suasananya sudah mula kelihatan seram. Ya lah, semuanya sudah sibuk mengulangkaji. Bagi Najihah, suasana di hujung semesta inilah yang paling dia takuti. Exam mood.
Suasana di luar masih kelabu. Hujan yang turun di bumi Minden sudah masuk hari kedua. Najihah menoleh ke arah Nora yang masih kusyuk dengan nota Data Analysisnya. Suasana biliknya hening tanpa banyak bunyi yang boleh didengar. Hanya kedengaran bunyi deruan kipas yang sedang berpusing dengan kelajuan sederhana disusuli dengan bunyi titisan-titisan hujan yang menitik di atas atap zink di luar biliknya. Najihah yang memang sukakan hujan merasa terpanggil untuk mengintai di luar. Dia bergerak bangun sambil memusing-musingkan pinggangnya ke kiri dan ke kanan. Membetulkan urat kerana sudah hampir sejam dia duduk di kerusi.
Nora yang mendengar dia menolak kerusi menoleh ke arahnya. “Kau dah habis study ke?”. Soalan Nora dibalas dengan gelengan. “Baru habis hafal separuh. Nak rehat sekejap la. Kau dah siap ke?”. Nora juga membalas dengan gelengan. “Banyak la nak kena fahamkan balik..”. Najihah mengangguk pantas. “Betul la. Aku pun masih banyak yang tak berapa nak faham. Takut jugak ni”. Najihah termenung sejenak. Dia melihat Nora juga ikut sama termenung. Tiba-tiba dia merasa bersalah kerana membuat kawan baiknya itu ikut risau. “Uhm... tak apa Nora. Nanti kita study sama-sama. InsyaAllah, aku yakin pasti kita akan dapat faham jugak nanti”. Najihah membuat muka positif dengan senyuman yang sengaja dilebarkan. Nora yang melihat kelakuan Najihah hanya ketawa kecil. “InsyaAllah. Aku yakin dengan muka positif kau tu”.
Nora mula mengemaskan buku-bukunya di meja. Najihah yang melihat sedikit lega walau hatinya masih lagi risau memikirkan peperiksaan yang bakal tiba dua minggu lagi. Keputusan semester lepas yang belum mencapai tahap yang dia inginkan membuatkan dia sedikit bimbang. Dia sudah berada pada tahun kedua. Hanya tinggal dua semester lagi sebelum dia menghabiskan pengajiannya. Selepas itu dia akan mula melangkah ke alam pekerjaan yang masih kabur di dalam mindanya. Bernasib baikkah dia selepas keluar nanti? Persoalan yang saban hari menjengah mindanya takkala dia duduk bersendirian.
“Jihah, aku balik bilik dulu la ya. Nanti lepas solat zohor, aku datang balik. Kelas kita start pukul tiga kan? Sempat la kita pergi makan dulu sebelum pergi kelas”. Nora yang sudah siap mengepit segala macam buku di tangannya menoleh ke arahnya yang masih tercegat di sisi meja studynya. “Ha ah. Kelas kita pukul tiga. Kelas last Prof. Loke. Sempat je kita pergi makan dulu”. Najihah membalas soalan Nora sambil tangannya sibuk menyusun buku-buku di mejanya.
 “Jihah, insyaAllah. Kita akan okey semester ni.” Nora yang sudah mula membuka pintu bilik tersenyum memandangnya. “Aku tahu kau risau. Jangan bimbang sangat ya”. Najihah yang mendengar kata-kata Nora turut sama tersenyum. “InsyaAllah”.
Hujan yang masih turun dengan lebatnya di luar seakan-akan mengerti perasaan Najihah. Najihah menyelak sedikit langsir biliknya lalu melihat ke luar. Langit masih lagi kelabu. Menampung awan gelap yang saiznya semakin besar. Musim hujan di bumi Minden untuk tahun kedua memberikan dia perasaan yang sukar dimengertikan. Dia harus berjaya di sini. Berjaya untuk menggenggam segulung ijazah. Itulah impian yang dia pasang semenjak hari pertama dia berada di bumi Minden ini.
Angin kuat datang menyerbu secara tiba-tiba membuatkan langsir yang dipegang kemas terlepas dari tangan. Najihah pantas menutup langsir apabila angin sejuk mula menampar pipinya. Tanpa sedar, ada sepasang mata yang sedang memerhati tingkah Najihah dari jauh.
**************
Pintu bilik tutorial ditutup dengan perasaan yang sedikit lega. Kelas terakhir bagi subjek Geofizik Kejuruteraan di bawah kendalian Profesor Loke berakhir dengan peruncingan bab penting untuk peperiksaan nanti. Angin Prof. Loke baik rasanya semester ini. Tidak pernah lagi pensyarahnya itu memberikan bab peruncingan sebelum ini. Mungkin inilah peluang yang Najihah ada untuk mendapatkan gred yang lebih baik dalam peperiksaan akhir semester nanti. Dapatlah dia memperbaiki pointernya. Alhamdulillah. Najihah tersenyum riang. “Balik bilik sahajalah. Sambung study dekat bilik pun okey jugak”. Najihah membuat keputusan sambil hatinya mula bernyanyi irama rancak. Gembira betul dia hari ini.
Najihah mula melangkah menuruni tangga bilik tutorial blok D4. Dia sedikit berhati-hati kerana di tangannya penuh dengan segala macam barang. Buku nota yang agak tebal ditambah pula dengan buku latihan, pencil boxnya yang bersaiz besar serta sekaki payung yang tersangkut di lengan menyukarkan dia untuk melangkah dengan cepat. Ketika kakinya sudah hampir sampai ke tangga yang terakhir, tiba-tiba sahaja lengan baju kurungnya tersangkut pada palang tangga. Dia yang sudah mula hilang keseimbangan badan hanya pasrah apabila badannya mula terhuyung-hayang.
“Allahu Akhbar....”. Najihah sudah terjelepuk ke lantai. Saat itu dia rasakan baik sahaja dia berpura-pura pengsan. Malunya. Kenapalah nasib baiknya hari ini tidak berpanjangan. Kawan baiknya, Nora pula tiada. Awal-awal sudah lesap entah ke mana. “Adoi.. Harap-harap janganlah ada orang yang aku kenal lalu dekat sini”. Najihah cepat-cepat mengutip buku serta pencil boxnya yang sudah tercampak jauh. Dia mencari-cari payungnya apabila tiba-tiba sahaja dia melihat kaki seseorang menghampiri tempat dia sedang terduduk sekarang.
Najihah terus bangun sambil membetul-betulkan baju kurung serta tudung di kepalanya. Dia mendongak kepalanya kepada tuan punya kaki yang telah menghampirinya tadi. Namun tika dia memandang kepada empunya badan yang menghampirinya itu,dia seperti telah di freezekan. Beku dan kelu. Lelaki yang memakai kemeja berwarna krim serta seluar slack coklat dengan tack pelajar yang tergantung di leher memberikan dia satu pandangan yang aneh. Dia seperti pernah melihat lelaki itu. Tapi dia tidak pasti di mana.
“Saudari, payung awak”. Lelaki itu menghulur payung pink berbunga halus milik Najihah. Dia yang masih beku berdiri, sedikit tersentak. Cepat-cepat dicapainya payung yang dihulur.
“Terima kasih”. Najihah sedikit gugup mengucap kata. Dia melihat lelaki yang bermata bundar itu hanya tersenyum kecil.
“Sama-sama”. Lelaki yang baik hati itu mula meninggalkan Najihah, menaiki tangga menuju ke bilik tutorial di tingkat atas. Seketika kemudian dia hilang di celah-celah pelajar yang mula berpusu keluar dari bilik tutorial.
Najihah masih di situ. Kepalanya mula sarat dengan maklumat yang dia pernah melihat lelaki itu. Tapi dia tidak pasti di mana. “Siapa ya.....”. Najihah amat yakin yang dia memang pernah melihat lelaki tersebut. Kepalanya yang sudah penuh dengan bermacam jenis maklumat tidak dapat mencerna dengan baik ingatannya berkenaan lelaki bermata bundar yang sudah membuatkan hati Najihah sedikit tidak keruan tadi. Najihah mula mengatur langkah meninggalkan ruang blok tutorial dengan mindanya masih memikirkan gerangan lelaki budiman yang telah menolongnya tadi. Hujan yang turun di luar bangunan blok tutorial D4 memberikan suasana yang menyenangkan. Sejuk dan damai. Tanpa sedar, langkah Najihah turut diiringi pandangan seseorang dari tingkat atas blok tutorial itu. Pandangan dari seseorang yang mungkin akan merubah hidup Najihah suatu hari nanti.
*************
~Hujan menghantar memori itu kembali~
Bunyi dengungan katak yang kuat di luar menarik minat Najihah untuk mengintai. Tabir langsir di singkap sedikit. Najihah memandang ke arah titis-titis hujan yang masih turun dengan lebatnya. Hari ketiga hujan di penghujung bulan Oktober. Sebentar tadi dia telah menelefon Nora memberitahu yang dia tidak jadi untuk ikut keluar ke bandar. Hari ini sudah hari Jumaat. Ini bermakna Isnin hadapan sudah bermula minggu ulangkaji. Najihah akan memulakan kertas pertama examnya pada Isnin minggu pertama peperiksaan. Ini bermakna dia betul-betul mempunyai masa seminggu untuk bersedia menghadapi kertas pertamanya.
Semalam dia telah menelefon emaknya di kampung. Sempat juga emaknya menitip pesan supaya memperbanyakkan lagi solat hajat dan membaca yasin. Amalan yang selalu emaknya pesan ketika setiap kali dia akan menghadapi peperiksaan. Di kalangan adik-beradiknya, dia memang terkenal dengan sifat yang kalut dengan peperiksaan. Dia masih ingat, dia pernah mengalami demam seminggu ketika peperiksaan SPM hanya tinggal dua minggu untuk ditempuhi. Ketika itu puaslah emaknya mencari air sembahyang hajat dari ustaz di kampungnya, bagi menguatkan semangat di anak yang bernama Najihah. Peristiwa itu masih segar di ingatan dan sering mengundang senyum di bibir jika terkenangkannya. Najihah amat sayangkan emak. Dia harus membalas segala jasa dan penat lelah emak membesarkannya setelah ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan di tempat kerja. Ayahnya yang bekerja di Singapura sebagai pengimpal kapal meninggal akibat terjatuh ketika bekerja di limbungan. Dia yang masih di sekolah rendah ketika itu betul-betul merasakan kehilangan seorang lelaki yang bergelar ayah. Dia masih ingat ketika jasad ayahnya di bawa ke kubur, emak telah memeluk dia dan adik beradiknya yang lain dengan linangan air mata di pipi. Kata-kata emak ketika itu masih jelas di ingatannya. “Emak akan besarkan semua anak emak sampai berjaya”. Walaupun saat itu dia hanya berumur sepuluh tahun, kata-kata emaknya itu telah membuatkan dia memasang tekad untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga ke menara gading.
Guruh kuat berbunyi di langit diselangi dengan bunyi dengungan katak yang bersahut-sahutan di luar bilik. Najihah yang masih berdiri di birai tingkap memandang ke dada langit. Hujan yang masih lebat membasahi bumi memberi isyarat belum mahu berhenti. Namun, hukum Allah mengatakan sinar mentari itu pasti akan terbit setelah Dia turunkan hujan yang lebat ke bumi. Begitulah juga dengan kehidupan manusia. Setelah bersusah payah pasti kemenangan akan muncul. Najihah menggenggam erat tangan kanannya.
“Najihah akan berusaha mak. Sampai berjaya ......”. Tekad Najihah di dalam hati.
*****************
~Hujan itu pembawa semangat~
Hari-hari yang berlalu terasa sungguh cepat. Minggu ulangkaji bagi semua pelajar Universiti Sains Malaysia bagi penggal ini sudah menghampiri penghujungnya. Semua tempat dapat dilihat para pelajar mengelek bermacam jenis buku. Bermula dari School of Managemant sehinggalah ke Pusat Bahasa, semua pelajar sibuk dengan buku masing-masing. 
Bagi Najihah, dia merasa sudah hampir bersedia untuk menghadapi peperiksaan kali ini. Study discussion yang dibuat bersama rakan-rakannya banyak membantu. Mereka juga telah banyak merujuk kepada pensyarah setiap kali menghadapi masalah dalam memahami konsep-konsep yang dirasakan sukar. Keyakinan yang setiap sesuatu yang sukar itu pasti ada jawapannyalah membuatkan Najihah semakin yakin untuk menghadapi peperiksaan semester kali ini.
Pesanan daripada emaknya juga banyak memberikan dia semangat di kala dia merasa semakin lemah untuk mengharungi saat-saat genting ini. “Peperiksaan hanyalah menjawab persoalan daripada seorang pensyarah, bukannya menjawab persoalan daripada Allah. Tiada apa yang perlu Najihah takutkan, ya nak ...”. Emaknya yang sedang memarut kelapa untuk dimakan bersama pulut bagi sarapan mereka sekeluarga, tersenyum kepadanya. Senyum emak manis sekali ketika itu. Kata-kata emak umpama satu azimat penyembuh duka. Hatinya menjadi kuat. Imannya semakin mantap. Emak menyedarkan dia yang tiada apa yang perlu ditakutkan di dunia ini kecuali kepada Allah, Penguasa Alam ini.
Jam di meja belajar Najihah telah menjejak ke angka 10.35 malam. Najihah melipat sejadah serta telekung sembahyangnya lalu disangkut ke palang besi di bahagian tepi pintu bilik. Dia baru sahaja selesai menunaikan solat hajat. Malam ini dia sengaja memanjangkan waktu solatnya. Usai solat isyak tadi, dia terus membaca surah yasin disusuli dengan solat hajat. Pagi esok, perjuangannya akan bermula. Peperiksaan kertas pertama bagi semester ini dimulai dengan subjek Meteorologi II. Hanya ketenangan sahaja yang dia dambakan saat ini.
Najihah beredar ke meja studynya. Fail putih yang di dalamnya terdapat slip peperiksaan serta kertas panduan peperiksaan dilihat lama. Najihah memastikan sekali lagi bahawa slip peperiksaannya mengandungi maklumat yang betul. Setelah memastikan angka serta huruf-huruf yang tercatat pada slip itu betul dan lengkap, Najihah membuka buku nota Meteorologi II yang sudah banyak bertanda dengan kertas-kertas berwarna. Dia sekadar menyemak buat kali terakhir.  
Angin kuat tiba-tiba menyerbu masuk. Najihah sedikit tersentak apabila langsir biliknya terpukul ke luar bilik. Hujan yang hanya renyai-renyai tadi rupanya sudah bertukar lebat. Daun tingkap biliknya mungkin tidak dikemaskan menyebabkan ia terbuka secara tidak sengaja.
Najihah segera menarik langsir biliknya daripada terkena tempias hujan sambil matanya dihala ke arah pohon besar yang masih jelas kelihatan walaupun pada waktu malam. Tiba-tiba ingatan Najihah terlempar kepada peristiwa dua minggu lepas. Peristiwa pada hari pertama hujan membasahi bumi Minden. Pohon besar - anak kucing - lelaki yang baik hati. Apabila terbayangkan wajah si baik hati, Najihah tiba-tiba seperti dilanda dejavu. Si baik hati yang menyelamatkan kucing dan si baik hati yang memegang payung pinknya sambil berkata “Saudari, payung awak” mempunyai wajah yang sama.
“Ya Allah. Dia ke?..” Najihah ketika itu sudah seperti mahu menjerit. Akhirnya dia menemui jawapan bagi persoalan yang ada di mindanya sejak minggu lepas. Lelaki yang menolong ketika dia terjatuh hari itu adalah orang yang sama dia lihat menolong seekor kucing yang kesejukan di bawah pokok besar yang kini sedang dipandangnya. Nampak gayanya dia memang kini akan difreezekan. Hujan yang semakin menggila di luar serta diselangi dengan guruh yang berdentum di langit memaksa Najihah untuk cepat-cepat menutup tingkap. Dia bersandar lega di kerusi sambil tersenyum. Akal nakalnya tiba-tiba membisikkan kata mengatakan kemungkinan dia dan si baik hati berjodoh. Namun apabila terpandangkan slip peperiksaan serta buku nota yang sedang terbuka di hadapannya, Najihah cepat-cepat beristighfar. Dia harus memfokuskan fikiran untuk peperiksaan esok hari.
“Fokus Najihah...fokus....”. Najihah menenangkan diri sambil menarik nafas panjang. “Peperiksaan lebih penting sekarang Najihah!”. Najihah merapatkan badannya ke kerusi lantas tangan di tadah bagi mengaminkan doa penerang hati.  
********************
~Sesudah Hujan Teduh~
            Hawa dingin di dalam dewan peperiksaan membuatkan Najihah merapatkan baju sejuk nipis yang dipakainya.  Jam di tangan kiri dipandang sekilas. Dia yang masih mempunyai masa lebih kurang sepuluh minit sahaja lagi untuk menjawab kini sudah berada pada soalan yang terakhir. Najihah menarik nafas lega apabila dia selesai menghabiskan ayat yang terakhir pada helaian buku jawapan. Helaian-helaian kertas pada buku jawapan diselak satu persatu bagi memastikan jawapan yang ditulis mengikut kehendak soalan. Matanya turun naik membaca kembali jawapan yang sudah ditulis.
            “Alhamdulillah....”. Najihah menghela nafas lega sekali lagi. Dengungan suara kedengaran dari mikrofon pengawas peperiksaan di hadapan dewan memberitahu para calon agar berhenti menjawab kerana kertas jawapan akan mula dikutip sebentar lagi.
Najihah memandang lepas ke luar dewan peperiksaan. Langit mula memberikan sinar mentari walaupun masih kelihatan rintik-rintik halus air hujan . Sudah hampir dua minggu bumi Minden basah. Bagi Najihah, basahnya bumi Minden memberikan dia semangat untuk mengharungi hari-hari yang sukar bagi semester ini. Semester pengajian yang memberikan dia satu dimensi baru dalam hidup. Pelbagai pahit manis yang sudah dia tempuh.
            “Jihah! Jom kita balik!” Nora sudah tersenyum lebar di hadapan Najihah membuatkan Najihah pun tersenyum sama.
            “Jomla..”
            Ruang legar di luar dewan peperiksaan penuh sesak dengan pelajar ketika Najihah menolak pintu keluar. Dia cepat-cepat beralih ke arah rak menyimpan beg apabila dilihat Nora sudah mula menghilang. Kebanyakkan pelajar pasti mahu cepat sampai ke cafe. Ya lah, tenaga sudah habis digunakan untuk bertarung di dalam dewan peperiksaan tadi jadi perut pasti minta diisi.
            Najihah sedikit terjengah untuk mengambil begnya kerana terhalang oleh seorang pelajar perempuan di hadapannya. Setelah berjaya mendapatkan beg serta payung yang tersangkut kemas di tali backpacknya, dia bergerak ke tepi dewan untuk memasukkan pencil box serta sweater nipis yang sudah ditanggalkan sebaik sahaja habis peperiksaan tadi. Tika itu, dia terpandangkan sekeping nota kecil yang tersangkut elok pada pemegang payung pinknya. Najihah sedikit berdebar. Tulisan yang kemas bertulis dengan pen berdakwat biru dipandang lama.

                                           Selamat Maju Jaya.
                                           Semoga saudari dapat menempuhi 
                                           peperiksaan kali ini dengan hati yang tenang.

                                                                                           Salam Persahabatan
                                                                                           Nazirul  Ikmal

          Najihah terkesima. Pandangan di tala ke sekeliling ruang legar dewan peperiksaan. Kedudukan Najihah yang berada di tepi koridor menyukarkan dia mengesan si pemberi kad misteri. Namun begitu, tiba-tiba matanya terhenti pada satu wajah yang amat dikenalinya sekarang. Wajah si penyelamat kucing. Malah wajah itu jugalah yang membantunya tempoh hari. Si pemilik wajah itu tersenyum memandangnya. Senyuman yang cukup manis buat Najihah. Senyuman yang membuatkan bibir Najihah secara terus turut sama menguntum senyum. Suasana di ruang itu cukup hening membuatkan hati Najihah dilanda perasaan yang cukup damai.
               Si mentari malu-malu menjengah di sebalik awan. Awan mendung sudah mula melarikan diri. Hujan sudah teduh. Begitu juga dengan hujan di hati Najihah. Berjuanglah Najihah di bumi Minden ini dengan hati yang tenang kerana bahagia itu pasti akan muncul jua.

TAMAT

Tuesday, November 6, 2012

Cerpen kedua- BAIN-^_^

BAIN
Bahrin mendongak ke langit yang membiru. Kepulan awan yang memutih memberikan petanda bahawa cuaca yang baik pada pagi ini. Anak-anak burung yang baru belajar untuk mengendalikan sayapnya tidak terlepas pada pandangannya. Akalnya mula mengagumi ciptaan Allah itu.Sekecil-kecil burung pun harus belajar untuk hidup. Apatah lagi manusia yang dianugerahkan Allah kesempurnaan..Subhanallah...
"Bain!!!!...kenapa tak ke sekolah lagi?", laung satu suara dari arah belakang rumah membuatkan lamunannya terhenti.
"Ya mak!..Bain ke sekolah dulu ni," kata  Bahrain sambil mengikat tali kasutnya. Bain...panggilan yang diberi oleh arwah atuknya dulu. Susah sangat kata atuknya nak menyebut namanya. Kamarul Bahrin. Maklumlah dah kurang gigi di depan. Tersengih sendiri dia bila ingatkan atuk. Hidupnya banyak dihabiskan dengan arwah dahulu. Ke sungai...ke kebun...
"Bain!!!!"
"Ye..ye.. mak..Bain pergi dulu. Assalamualaikum!!!"..teriak Bain kuat.
**********
Bain meletakkan beg di belakang kerusi. Kelas telah mulai penuh dengan kawan-kawannya yang sibuk dengan agenda masing-masing. Dia melilau mencari teman baiknya Udin yang belum kelihatan dari tadi.
"Hoi!". Sapa seseorang dari belakang sambil menepuk bahunya.
Bain yang sedikit tersentak pantas menoleh kebelakang. Sengihan Udin yang menampakkan barisan giginya yang kekuningan kesan terlampau minum air teh kata Udin membuatkan Bain tersenyum.
"Lambat kau datang hari ini. Aku ingat kau tak datang sekolah", kata Udin sambil mengeluarkan buku matematik tambahan.
"Aku lambat sikit hari ini. Ambil 'mood' tengok langit...."
"Aku faham sangat kau tu...",ujar Udin tanpa memandangnya. Dia telah mula membuat kiraan pada buku latihan matematik tambahannya. Udin, kawan sekampungnya dan juga teman akrab dari kecil. Dia banyak berkongsi suka duka dengan Udin. Malah kawannya itulah yang banyak menemaninya semasa dia hilang semangat ketika atuknya meninggal. Udin tahu yang Bain terlalu sayangkan atuknya dan tabiat melihat awan-awan di langit itulah yang diwarisi oleh Bain dari atuknya, Tok Ramli.
"Apa yang kau tengok sebenarnya?" ujar Udin tiba-tiba.
"Aku pun tak tahu Udin..Tapi ini sahaja cara yang aku boleh buat untuk dapatkan semangat aku balik. Pandang ke awan macam aku pandang arwah atuk aku."
Udin mengangkat kepalanya sambil mengerutkan dahi. "Kau jangan macam ni. Aku kan ada. Lagipun kau dah janji dengan aku hari tu yang kau nak jadi kuat." Ujar Udin sambil menepuk bahunya perlahan.
"Aku tahu. Aku kuatla.." ujar Bain sambil tersenyum." Aku suka sangat tengok awan-awan tu. Kadang-kadang kalau aku tak pandang ke atas sekali dalam sehari rasa macam orang kemaruk cinta je" gurau Bain sambil ketawa kecil.
Udin yang melihat kawan baiknya itu mula ketawa merasa senang hati.
"Tapi kan Bain, aku rasa kau memang berjodoh la dengan awan. Mana tahu satu hari nanti kau jadi 'pilot' bolehlah kau peluk awan tu hari-hari", tambah Udin ketika Bain mula melangkah ke tempat duduknya. Bain memandang Udin sambil mengaminkan tangannya ke muka. Pecah ketawa mereka berdua.
***************
     “Mak, Bain ke kebun pisang dahulu. Udin nak ikut tolong sekali petang ini" ujar Bain sambil memandang emaknya yang sedang leka mengait mangga di hadapan rumah.
            "Yelah. Jangan lupa tengok-tengokkan ayah kamu sekali. Tengahari tadi balik sekejap sahaja. Lepas makan  terus menghilang ke kebun sayur tu" bebelan Mak Timah mula panjang apabila teringatkan suaminya itu. Dia merasakan kelainan pada kelakuan suaminya.
            "Baik mak, nanti Bain singgah di kebun sayur dahulu". Bain mengangkat tongkat basikalnya dan mula mengayuh basikal laju ke hadapan jalan. Udin sudah sedia menunggunya.
            Mak Timah hanya memandang kelibat anaknya yang mula menghilang. Ingatannya kembali pada Pak Rahim, bapanya Bain. Mak Timah tahu yang kebun pisang serta kebun sayur itu sahajalah tempat suaminya berada. Cuma rasa bimbang pada suaminya makin menjadi-jadi semenjak kebelakangan ini. Semenjak Pak Rahim asyik mengadu sakit-sakit dada, menyebabkan dia juga tidak senang duduk. Bila dilarang ke kebun, ada sahajalah alasannya. Bosan hanya goyang kaki di rumah, letih kalau hanya duduk. 
            Perangai suaminya sekarang banyak mengingatkan Mak Timah pada arwah mentuanya, Haji Ramli. Dada Mak Timah berombak kencang.."Nauzubillah..." ucap Mak Timah perlahan. Hatinya dipujuk untuk tidak terlalu banyak berfikir.
******************
            Malam mula melabuhkan tirainya. Bain yang masih melawan rasa mengantuknya mula tersengguk-sengguk. Ulangkajinya malam ini sengaja diperbanyakkan lagi memandangkan peperiksaan SPM yang semakin hampir. Sesekali emaknya, Mak Timah menjengulkan kepala di pintu bilik melihatnya belajar. Wajah tua emaknya kadang-kadang membawa hatinya diruntun hiba. Wajah yang selalu berjaga malam ketika dia sakit.
            "Bain akan berusaha mak " bisik hati kecilnya. Walaupun kehidupannya sekarang boleh dikatakan stabil, tetapi dengan hasil kebun sayur dan kebun pisang yang semakin merosot kebelakangan ini, merungsingkan mereka sekeluarga. Bain sedar sebagai abang sulung, dia menggalas tanggungjawab yang cukup besar dalam keluarganya. Dia memerlukan satu motivasi yang cukup tinggi untuk ditunjukkan kepada adik-adiknya. Pesan arwah atuknya suatu ketika dahulu masih segar dalam ingatan. 
            "Jadi orang yang berguna, Bain. Hidup ini memerlukan kita untuk banyak memberi, bukanlah hanya untuk kita menerima pemberian orang lain" kata Haji Ramli pada Bain ketika mereka sama-sama duduk di pangkin bawah pokok mangga di hadapan rumahnya. Sesekali Haji Ramli merenung mesra cucunya yang sedang asyik melukis awan-awan sambil mata Bain tidak lepas memandang ke langit. 
            "Bain nak sentuh awan-awan ni nanti atuk!" ujar Bain sambil tangannya masih ligat mencoret-coret di atas kertas lukisannya. Haji Ramli yang mendengarnya hanya tersenyum.
            "Tinggi cita-cita cucu atuk ni...." kata Haji Ramli sambil menggosok-gosok kepala Bain. Walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu, namun masih terasa hangat kepalanya ketika disentuh atuk.
     Bunyi batuk kuat ayahnya tiba-tiba mengejutkan Bain dari ingatan sepuluh tahun lepas. Dia cepat-cepat menapak ke arah bilik ayahnya. Mak Timah sedang mengurut-ngurut dada ayahnya yang berombak kencang. Bain segera memicit betis ayahnya yang sudah berkedut di mamah usia itu. Pak Rahim menarik nafas kuat-kuat sambil beristighfar.
     “Ayah ....”. Panggilan Bain hanya dibalas senyuman oleh Pak Rahim. Namun Bain nampak yang ayahnya sedang melawan rasa sakit dadanya. Lima minit beristighfar di samping Mak Timah dan Bain membantu, Pak Rahim dapat bernafas dengan baik kembali. Ayahnya meminta Bain kembali ke biliknya.
     “Ayah tak apa-apa. Bain pergilah tidur ya”, ujar Pak Rahim sambil mengorak senyuman nipis. Bain bangun dan perlahan-lahan berlalu ke bilik.  Mak Timah yang masih lagi merasa risau memandang suaminya lama.
     “Kita ke klinik ya bang esok”, ujar Mak Timah sambil terus memicit bahu suaminya. “Saya tak apa-apa. Orang tua biasalah, Timah. Badan yang Allah bagi pinjam ni dah lama digunakan. Mulalah ada yang tak kena.Lagipun banyak lagi kerja kat kebun tu”. Bain yang mula melangkah ke biliknya terhenti. Kata-kata ayahnya membuatkan hatinya dipalu sebak. Cepat-cepat dia berlalu masuk ke biliknya.
**************************
     Kelas agak sunyi pagi itu. Peperiksaan pertengahan tahun baharu sahaja mereka semua lepasi. Kebanyakkan daripada pelajar kelas 5 Sains 1 asyik dengan buku masing-masing. Pengumuman dari pembesar suara sekolah baru sahaja memberitahu semua pelajar tingkatan lima harus berada di kelas masing-masing kerana mesyuarat guru tingkatan lima sedang berlangsung di bilik mesyuarat. Bain dan Udin tidak ketinggalan menggunakan masa dengan sebaiknya untuk mengulangkaji pelajaran. Peperiksaan SPM yang tinggal hanya beberapa bulan lagi membuatkan mereka lebih tekun untuk belajar.
     “Bain, macam mana kesihatan ayah engkau?”. Bain yang tekun membuat latihan matematik tambahan mengangkatkan mukanya mendengar soalan Udin. Dia memandang wajah rakan baiknya itu sejenak. “Macam tu la. Malam tadi sesak nafas lagi. Aku pun bimbang ni. Bila emak aku ajak ke klinik, dia tak mahu.”. Raut wajah Bain jelas membayangkan yang dia amat risaukan kesihatan ayahnya itu.
     “Sabarlah ya Bain. Aku doakan ayah engkau cepat sembuh”. Bain hanya mampu tersenyum mendengar kata-kata Udin. Dia memandang ke luar tingkap kelasnya. Matanya merenung jauh ke arah bukit yang kelihatan gagah berdiri. Hatinya sempat berdetik mengagumi ciptaan Allah itu. Kekuatan bukit itu pasti datang dari pasaknya. Dia berfikir manusia juga pasti dapat berdiri dengan kuat kalau hati dan kekuatan dalamannya kukuh. Iman; kata ayahnya. Tiba-tiba seperti mendapat semangat baru, Bain kembali menyelak buku teks matematik tambahannya itu. Udin yang melihat kelakuan Bain hanya mampu tersenyum. Dia tahu rakan baiknya itu seorang remaja lelaki yang telah matang berbanding usianya. Udin mengagumi kepandaian serta perwatakan yang dimiliki oleh Bain. Walaupun dalam keadaan tertekan, Bain masih mampu menangani masalah dengan baik. Memang sesuai untuk jadi seorang pilot!. Udin tersenyum senang.
***************
     Petang itu Bain mengayuh laju basikalnya menuju ke kebun pisangnya. Hari ini dia telah berjanji dengan Pak Mail untuk menjual pisang-pisangnya. Hasilnya nanti dapatlah dia beli ubat untuk ayahnya. Kebun pisang yang sudah tidak jauh membuatkan Bain mengayuh lebih laju basikalnya. Setelah membelok di simpang kecil berdekatan dengan parit, dia melihat van Pak Mail yang sudah sedia menanti.
     “Maafkan saya Pak Mail. Saya terlambat sikit”. Bain menyalami tangan Pak Mail yang sedang tersengih dengan rokok daun terkepit kemas di celah giginya. “Tak apa, Bain. Pak Mail sengaja datang awal. Boleh tolong kamu tebang pisang-pisang tu. Ayah kamu macam mana? Sakit-sakit lagi?”. “Macam tu la Pak Mail. Ayah degil. Tak mahu ke klinik”. Bain yang mula bergerak ke pohon pisang dengan sebilah parang menjawab sambil memandang Pak Mail yang sudah pun bersedia untuk mencantas pisang yang masak kuning. “Nanti Pak Mail singgah rumah kamu sekejap. Mana tahu ayah kamu nak dengar cakap Pak Mail”. Kata-kata Pak Mail sedikit melegakan hati Bain. Dia mula mencantas pisang-pisang yang sedang masak kuning itu. Alhamdulillah rezeki dia murah kali ini. Pohon-pohon pisang yang ditanamnya sejak enam bulan dulu memberikan hasil yang lumayan petang ini. Dia tidak henti-henti mengucap syukur dalam hati. Dia tidak sabar untuk berkongsi kegembiraan itu dengan Udin. Malam nanti dia ada kelas tambahan matapelajaran fizik, subjek yang dia begitu gemari. Balik dari kelas malam nanti dia mahu belanja burger sedap depan sekolah pada Udin. Budi baik rakannya itu harus dibalas walaupun dia tahu Udin ikhlas menolongnya.
*****************
Pagi itu merupakan hari yang cerah dengan cuaca yang sungguh baik. Sejak dari pagi, matahari memancarkan sinarnya membuatkan seisi alam mensyukurinya. Begitu juga dengan keadaan di dalam dewan besar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sena. Suasana tenang dengan hanya sesekali kedengaran bunyi geseran antara kertas-kertas memberikan ketenangan kepada semua pelajar untuk menjawab soalan peperiksaan. Hari ini merupakan hari terakhir Bain, Udin serta seluruh pelajar tingkatan lima menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia . Setelah berbulan-bulan mengerah keringat, hari inilah penamat kepada segala kerja keras yang telah mereka lakukan selama ini.
Bain dengan tenang melihat soalan-soalan yang tertera pada kertas. Subjek fizik merupakan subjek terakhir bagi pelajar yang mengambil aliran sains tulen seperti Bain dan sekarang dia sedang menjawab soalan-soalan bagi fizik kertas dua. Soalan demi soalan cuba dijawab dengan sebaik mungkin oleh Bain. Dalam hati dia tidak putus berzikir supaya Allah sentiasa bersamanya. Bain sudah tiba pada soalan yang terakhir apabila tiba-tiba sahaja hatinya berdebar. Debaran yang sangat kuat. Dia mendongak seketika. Pesanan ayahnya ketika dia sedang memakai kasut sebelum ke sekolah tadi terngiang-ngiang di telinganya.
“Bain jawab periksa baik-baik ye. Ayah dah maafkan segala kesalahan Bain. Bain anak yang baik dan ayah bangga dapat anak macam Bain”
Bain memegang dadanya seketika. Sebak datang tanpa diundang. Petanda apakah ini?. Kertas soalan kembali ditatap. Soalan terakhir harus dijawab dengan segera.
“Alhamdulillah..” Bain mengucap syukur seraya menutup kertas jawapan yang sudah siap kemas diikat dengan tali putih. Dia mendongak seketika ke arah jam besar yang tergantung di hadapan dewan.
“Masih ada sepuluh minit. Sempat lagi untuk semak ni..” Bain menyelak helaian demi helaian kertas jawapannya. Setiap jawapan dikemaskini untuk kali yang terakhir. Bain berpuas hati apabila sampai ke soalan yang terakhir. Fikirannya tiba-tiba kembali teringatkan ayahnya. “Alhamdulillah ayah. Bain dah cuba yang terbaik.”
Laungan suara dari Ketua Pengawas Peperiksaan meminta para pelajar untuk berhenti menjawab kedengaran kuat dari pentas hadapan dewan. Bain yang sudah siap mengemas bekas penselnya meletakkan kertas jawapan di bahagian tepi sebelah kanan mejanya. Meja Udin yang selang dua sahaja dari mejanya dijengah. Udin juga sudah siap meletakkan kertas jawapan di sebelah kanan meja. Udin yang menoleh ke arahnya tersenyum sambil mengangkat ibu jari kanannya. Dia juga membalas dengan mengangkat kedua-dua ibu jari tangannya. Syukur yang tidak terhingga apabila rakan baiknya juga berjaya menjawab dengan baik.
******************
            “Bain, kita pergi pekena air batu campur dekat kedai Pak Saleh dulu nak? Yela sempena meraikan hari terakhir exam kita. Nak?”. Udin yang berjalan di tepi Bain sambil menuntun basikal menoleh kepada Bain sambil tersenyum riang. Bain yang hanya terdiam semenjak keluar dari dewan peperiksaan tadi di pandang lama.
            “Kau tak sihat ke?”
            “Aku sihat aje”
            “Habis tu kenapa? Tak apa, kali ni aku belanja”. Udin yang menyangka Bain tidak mempunyai duit untuk makan air batu campur cepat-cepat menawarkan diri untuk belanja kawan baiknya itu.
            “Eh, tak apa. Udin, kita makan abc lain kali ye. Aku nak balik rumah la. Dada aku ni asyik berdebar je dari tadi.”
            “Kalau macam tu, tak apa la. Lain kali je kita makan. Jomla, kita balik”.Udin yang sedikit risau melihat keletah kawannya itu cepat-cepat mengayuh basikal apabila melihat Bain juga sudah mula mengayuh laju basikalnya.
***********
“Setiap yang bernyawa pasti akan meninggalkan dunia ini. Allah menjadikan setiap makhluk di muka bumi ini hanya sementara. Bila sampai waktu dan ketikanya pasti Dia akan menjemput kita kembali kepadaNya..”Pak Mail mengusap kepala Bain yang masih lagi terdiam kaku semenjak dia pulang dari sekolah tadi.
Petanda dadanya yang berdebar kencang dalam dewan peperiksaan tadi adalah petanda yang ayahnya akan meninggalkannya. Sebaik sampai di halaman rumahnya, dia sudah menjangkakan ada sesuatu yang buruk pasti berlaku. Deretan motor serta bunyi orang membaca yasin menguatkan lagi andaiannya yang sesuatu yang berharga dalam hidupnya sudah diambil pergi. Udin yang sama-sama mengikut ke rumahnya di pandang dengan linangan air mata. “Ayah aku Udin.....” Dia merasa tangan Udin yang memaut kuat bahunya.
“Bain anak yang baik. Bain kena jadi abang yang kuat ya. Adik-adik semua perlukan Bain.” Pak Mail yang masih setia berada di sisinya tidak putus memberikan semangat. Kepalanya didongakkan. Bain memandang ke arah ibu serta adik-adiknya yang berada di ruang hadapan rumahnya. Dia memandang ke arah sebidang tikar yang masih terhampar. Di situlah mayat ayahnya diletakkan sebelum di bawa ke kubur tadi. Masih terasa hangat wajah ayahnya saat dia mencium dahi sebelum jenazah di tutup serta dikafankan.
“InsyaAllah Pak Mail. Saya akan jadi lebih kuat. Saya tahu,arwah ayah saya pun mahu saya jadi lebih kuat”. Bain mengelap air mata yang berbaki di pipinya sambil memandang wajah Pak Mail. Pak Mail yang sebak melihat wajah Bain terus memeluknya kuat. Tangisan Bain terhambur lagi.

***********
            Suara pembantu kawalan trafik udara yang memberi arahan didengar Bain dengan senyuman yang panjang dibibir. Setelah menerima maklumat yang cuaca serta landasan yang clear untuk berlepas,Bain mula menumpukan perhatian pada skrin di hadapannya. Kawalan stereng yang kemas membuatkan operasi departure berlaku dengan baik. Bain tersenyum lega. Seketika kemudian kedengaran lagi suara dari menara kawalan yang memberi maklumat terkini serta menyatakan perpindahan maklumat ke menara kawalan seterusnya. Bain yang mendengar suara pembantu kawalan trafik udara itu kembali tersenyum. Dia amat mengenali suara itu. Mohd Fakhruddin-Udin. Kawan baiknya. Kawan baiknya itu setia menjadi penemannya dari dulu sehingga sekarang. Udin kini bergelar Penolong Pegawai Kawalan Trafik Udara. Jawatan yang amat sesuai untuk Udin.
            Enam tahun telah berlalu. Gumpalan awan yang memutih di hadapan di pandang lama. “Ayah... Atuk .... Bain dah berjaya”. Dadanya dipalu rasa sebak. Terlalu banyak pahit manis yang sudah ditempuhi. Alhamdulillah dia berjaya mengharunginya dengan baik. Doa dan harapan ayah serta datuknya sentiasa tersemat di hati membuatkan dia tabah mengejar cita. Kerjaya yang pernah diucapkan oleh sahabat baiknya,Udin akhirnya menjadi kenyataan. Dia telah berjaya menggapai awan.
            Titisan air mata yang datang tanpa diundang disapu laju. Matanya kembali fokus kepada skrin monitor di hadapannya. Tugasnya harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin bagi memastikan nyawa puluhan manusia selamat sampai ke destinasi yang dituju. “KepadaMu sahaja aku berserah dan Engkaulah sebaik-sebaik Pengatur alam ini”.
            Sinaran sang suria di hadapan melancarkan penerbangan. Selancar aturan Allah dalam hidup Bain.
                                   *********  TAMAT  ************* 