SESUDAH HUJAN TEDUH
~ Hujan itu pembawa
rahmat ~
Bunyi air hujan yang jatuh ke atap zink di luar bangunan
asrama Desasiswa Gemilang membuatkan Najihah terpanggil untuk menjenguk ke
luar. Sudah agak lama hujan tidak turun di bumi Minden ini. Sekarang sudah menghampiri
penghujung bulan Oktober. Maknanya, musim tengkujuh sudah mahu bermula. Angin
sejuk yang tiba-tiba sahaja menampar pipi Najihah membuatkan dia sedikit
menggigil. Pokok besar di luar biliknya yang berdaun lebat umpama sebuah payung
besar. Najihah sedikit simpati apabila melihat seekor kucing yang duduk
terbaring kesejukan di bawah pokok besar itu. Dia yang sudah berfikir-fikir
mahu keluar mengambil kucing itu terhenti apabila melihat seorang lelaki
berlari dengan payung yang dipegang kemas di tangannya. Najihah memerhati
dengan penuh minat. Lelaki tersebut dengan cekap memeluk kucing berbulu putih
itu dengan sehelai kain. Najihah yang melihat sedikit terkesima. “Baiknya hati
dia”. Bisik hati Najihah. Seketika kemudian, dia melihat lelaki itu berjalan pantas ke arah asrama putera yang
betul-betul bersebelahan dengan asramanya. “Siapalah lelaki baik hati itu”.
Pintu bilik yang dibuka secara tiba-tiba membuatkan Najihah segera menoleh.
“Kau nak makan tak? Farah dengan Mima dah siap. Kitorang
tunggu engkau je ni..” Nora menyapa dengan kepala yang terjengul di balik
pintu.
“Okey, aku siap sekejap”.
Najihah mula melangkah ke arah almari pakaiannya apabila
tiba-tiba sahaja angin kuat membuai langsir tingkapnya dan menampakkan asrama
putera di hadapan. Apabila terpandangkan blok asrama itu, Najihah tersenyum. Hari
pertama bumi Minden dibasahi hujan telah
memberikan memori indah padanya.
*******************
~ Hujan itu memberikan harapan ~
“Najihah, nota Data Analysis kau lengkap tak? Aku
pinjam boleh?”. Nora berjalan masuk ke biliknya dengan sengihan panjang. Najihah
yang sedang mencoret kembali hafalan nota Meteorologi II pada kertas kajang
hanya menunjuk ke arah buku tebal di sisinya. Nota Data Analysis memang agak tebal untuk semesta ini.
Peperiksaan akhir
semesta mereka akan bermula tidak lama lagi. Minggu depan sudah bermula minggu
ulangkaji, jadi inilah minggu terakhir bagi semua pelajar untuk membuat segala
jenis persiapan. Baik mental mahupun fizikal. Jika berada di Perpustakaan
Hamzah Sendut II, suasananya sudah mula kelihatan seram. Ya lah, semuanya sudah
sibuk mengulangkaji. Bagi Najihah, suasana di hujung semesta inilah yang paling
dia takuti. Exam mood.
Suasana di luar
masih kelabu. Hujan yang turun di bumi Minden sudah masuk hari kedua. Najihah
menoleh ke arah Nora yang masih kusyuk dengan nota Data Analysisnya. Suasana biliknya hening tanpa banyak bunyi yang
boleh didengar. Hanya kedengaran bunyi deruan kipas yang sedang berpusing
dengan kelajuan sederhana disusuli dengan bunyi titisan-titisan hujan yang
menitik di atas atap zink di luar biliknya. Najihah yang memang sukakan hujan
merasa terpanggil untuk mengintai di luar. Dia bergerak bangun sambil
memusing-musingkan pinggangnya ke kiri dan ke kanan. Membetulkan urat kerana
sudah hampir sejam dia duduk di kerusi.
Nora yang mendengar
dia menolak kerusi menoleh ke arahnya. “Kau dah habis study ke?”. Soalan Nora dibalas dengan gelengan. “Baru habis hafal
separuh. Nak rehat sekejap la. Kau dah siap ke?”. Nora juga membalas dengan gelengan.
“Banyak la nak kena fahamkan balik..”. Najihah mengangguk pantas. “Betul la.
Aku pun masih banyak yang tak berapa nak faham. Takut jugak ni”. Najihah
termenung sejenak. Dia melihat Nora juga ikut sama termenung. Tiba-tiba dia merasa
bersalah kerana membuat kawan baiknya itu ikut risau. “Uhm... tak apa Nora.
Nanti kita study sama-sama.
InsyaAllah, aku yakin pasti kita akan dapat faham jugak nanti”. Najihah membuat
muka positif dengan senyuman yang sengaja dilebarkan. Nora yang melihat
kelakuan Najihah hanya ketawa kecil. “InsyaAllah. Aku yakin dengan muka positif
kau tu”.
Nora mula
mengemaskan buku-bukunya di meja. Najihah yang melihat sedikit lega walau
hatinya masih lagi risau memikirkan peperiksaan yang bakal tiba dua minggu
lagi. Keputusan semester lepas yang belum mencapai tahap yang dia inginkan
membuatkan dia sedikit bimbang. Dia sudah berada pada tahun kedua. Hanya
tinggal dua semester lagi sebelum dia menghabiskan pengajiannya. Selepas itu
dia akan mula melangkah ke alam pekerjaan yang masih kabur di dalam mindanya.
Bernasib baikkah dia selepas keluar nanti? Persoalan yang saban hari menjengah
mindanya takkala dia duduk bersendirian.
“Jihah, aku balik
bilik dulu la ya. Nanti lepas solat zohor, aku datang balik. Kelas kita start pukul tiga kan? Sempat la kita
pergi makan dulu sebelum pergi kelas”. Nora yang sudah siap mengepit segala
macam buku di tangannya menoleh ke arahnya yang masih tercegat di sisi meja studynya. “Ha ah. Kelas kita pukul tiga.
Kelas last Prof. Loke. Sempat je kita
pergi makan dulu”. Najihah membalas soalan Nora sambil tangannya sibuk menyusun
buku-buku di mejanya.
“Jihah, insyaAllah. Kita akan okey semester
ni.” Nora yang sudah mula membuka pintu bilik tersenyum memandangnya. “Aku tahu
kau risau. Jangan bimbang sangat ya”. Najihah yang mendengar kata-kata Nora
turut sama tersenyum. “InsyaAllah”.
Hujan yang masih
turun dengan lebatnya di luar seakan-akan mengerti perasaan Najihah. Najihah
menyelak sedikit langsir biliknya lalu melihat ke luar. Langit masih lagi
kelabu. Menampung awan gelap yang saiznya semakin besar. Musim hujan di bumi
Minden untuk tahun kedua memberikan dia perasaan yang sukar dimengertikan. Dia
harus berjaya di sini. Berjaya untuk menggenggam segulung ijazah. Itulah impian
yang dia pasang semenjak hari pertama dia berada di bumi Minden ini.
Angin kuat datang
menyerbu secara tiba-tiba membuatkan langsir yang dipegang kemas terlepas dari
tangan. Najihah pantas menutup langsir apabila angin sejuk mula menampar
pipinya. Tanpa sedar, ada sepasang mata yang sedang memerhati tingkah Najihah
dari jauh.
**************
Pintu bilik
tutorial ditutup dengan perasaan yang sedikit lega. Kelas terakhir bagi subjek
Geofizik Kejuruteraan di bawah kendalian Profesor Loke berakhir dengan peruncingan
bab penting untuk peperiksaan nanti. Angin Prof. Loke baik rasanya semester
ini. Tidak pernah lagi pensyarahnya itu memberikan bab peruncingan sebelum ini.
Mungkin inilah peluang yang Najihah ada untuk mendapatkan gred yang lebih baik
dalam peperiksaan akhir semester nanti. Dapatlah dia memperbaiki pointernya. Alhamdulillah. Najihah
tersenyum riang. “Balik bilik sahajalah. Sambung study dekat bilik pun okey jugak”. Najihah membuat keputusan sambil
hatinya mula bernyanyi irama rancak. Gembira betul dia hari ini.
Najihah mula
melangkah menuruni tangga bilik tutorial blok D4. Dia sedikit berhati-hati
kerana di tangannya penuh dengan segala macam barang. Buku nota yang agak tebal
ditambah pula dengan buku latihan, pencil
boxnya yang bersaiz besar serta sekaki payung yang tersangkut di lengan menyukarkan
dia untuk melangkah dengan cepat. Ketika kakinya sudah hampir sampai ke tangga
yang terakhir, tiba-tiba sahaja lengan baju kurungnya tersangkut pada palang
tangga. Dia yang sudah mula hilang keseimbangan badan hanya pasrah apabila
badannya mula terhuyung-hayang.
“Allahu
Akhbar....”. Najihah sudah terjelepuk ke lantai. Saat itu dia rasakan baik
sahaja dia berpura-pura pengsan. Malunya. Kenapalah nasib baiknya hari ini
tidak berpanjangan. Kawan baiknya, Nora pula tiada. Awal-awal sudah lesap entah
ke mana. “Adoi.. Harap-harap janganlah ada orang yang aku kenal lalu dekat
sini”. Najihah cepat-cepat mengutip buku serta pencil boxnya yang sudah tercampak jauh. Dia mencari-cari payungnya
apabila tiba-tiba sahaja dia melihat kaki seseorang menghampiri tempat dia
sedang terduduk sekarang.
Najihah terus
bangun sambil membetul-betulkan baju kurung serta tudung di kepalanya. Dia mendongak
kepalanya kepada tuan punya kaki yang telah menghampirinya tadi. Namun tika dia
memandang kepada empunya badan yang menghampirinya itu,dia seperti telah di freezekan. Beku dan kelu. Lelaki yang
memakai kemeja berwarna krim serta seluar slack coklat dengan tack pelajar yang
tergantung di leher memberikan dia satu pandangan yang aneh. Dia seperti pernah
melihat lelaki itu. Tapi dia tidak pasti di mana.
“Saudari, payung awak”.
Lelaki itu menghulur payung pink berbunga halus milik Najihah. Dia yang masih
beku berdiri, sedikit tersentak. Cepat-cepat dicapainya payung yang dihulur.
“Terima kasih”. Najihah
sedikit gugup mengucap kata. Dia melihat lelaki yang bermata bundar itu hanya tersenyum
kecil.
“Sama-sama”. Lelaki
yang baik hati itu mula meninggalkan Najihah, menaiki tangga menuju ke bilik
tutorial di tingkat atas. Seketika kemudian dia hilang di celah-celah pelajar
yang mula berpusu keluar dari bilik tutorial.
Najihah masih di
situ. Kepalanya mula sarat dengan maklumat yang dia pernah melihat lelaki itu.
Tapi dia tidak pasti di mana. “Siapa ya.....”. Najihah amat yakin yang dia
memang pernah melihat lelaki tersebut. Kepalanya yang sudah penuh dengan
bermacam jenis maklumat tidak dapat mencerna dengan baik ingatannya berkenaan
lelaki bermata bundar yang sudah membuatkan hati Najihah sedikit tidak keruan
tadi. Najihah mula mengatur langkah meninggalkan ruang blok tutorial dengan
mindanya masih memikirkan gerangan lelaki budiman yang telah menolongnya tadi.
Hujan yang turun di luar bangunan blok tutorial D4 memberikan suasana yang
menyenangkan. Sejuk dan damai. Tanpa sedar, langkah Najihah turut diiringi
pandangan seseorang dari tingkat atas blok tutorial itu. Pandangan dari
seseorang yang mungkin akan merubah hidup Najihah suatu hari nanti.
*************
~Hujan menghantar memori itu kembali~
Bunyi dengungan
katak yang kuat di luar menarik minat Najihah untuk mengintai. Tabir langsir di
singkap sedikit. Najihah memandang ke arah titis-titis hujan yang masih turun
dengan lebatnya. Hari ketiga hujan di penghujung bulan Oktober. Sebentar tadi
dia telah menelefon Nora memberitahu yang dia tidak jadi untuk ikut keluar ke
bandar. Hari ini sudah hari Jumaat. Ini bermakna Isnin hadapan sudah bermula
minggu ulangkaji. Najihah akan memulakan kertas pertama examnya pada Isnin minggu pertama peperiksaan. Ini bermakna dia
betul-betul mempunyai masa seminggu untuk bersedia menghadapi kertas
pertamanya.
Semalam dia telah
menelefon emaknya di kampung. Sempat juga emaknya menitip pesan supaya
memperbanyakkan lagi solat hajat dan membaca yasin. Amalan yang selalu emaknya
pesan ketika setiap kali dia akan menghadapi peperiksaan. Di kalangan
adik-beradiknya, dia memang terkenal dengan sifat yang kalut dengan
peperiksaan. Dia masih ingat, dia pernah mengalami demam seminggu ketika peperiksaan
SPM hanya tinggal dua minggu untuk ditempuhi. Ketika itu puaslah emaknya
mencari air sembahyang hajat dari ustaz di kampungnya, bagi menguatkan semangat
di anak yang bernama Najihah. Peristiwa itu masih segar di ingatan dan sering
mengundang senyum di bibir jika terkenangkannya. Najihah amat sayangkan emak.
Dia harus membalas segala jasa dan penat lelah emak membesarkannya setelah
ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan di tempat kerja. Ayahnya yang bekerja
di Singapura sebagai pengimpal kapal meninggal akibat terjatuh ketika bekerja
di limbungan. Dia yang masih di sekolah rendah ketika itu betul-betul merasakan
kehilangan seorang lelaki yang bergelar ayah. Dia masih ingat ketika jasad
ayahnya di bawa ke kubur, emak telah memeluk dia dan adik beradiknya yang lain
dengan linangan air mata di pipi. Kata-kata emak ketika itu masih jelas di
ingatannya. “Emak akan besarkan semua anak emak sampai berjaya”. Walaupun saat
itu dia hanya berumur sepuluh tahun, kata-kata emaknya itu telah membuatkan dia
memasang tekad untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga ke menara gading.
Guruh kuat berbunyi
di langit diselangi dengan bunyi dengungan katak yang bersahut-sahutan di luar
bilik. Najihah yang masih berdiri di birai tingkap memandang ke dada langit.
Hujan yang masih lebat membasahi bumi memberi isyarat belum mahu berhenti.
Namun, hukum Allah mengatakan sinar mentari itu pasti akan terbit setelah Dia
turunkan hujan yang lebat ke bumi. Begitulah juga dengan kehidupan manusia.
Setelah bersusah payah pasti kemenangan akan muncul. Najihah menggenggam erat
tangan kanannya.
“Najihah akan
berusaha mak. Sampai berjaya ......”. Tekad Najihah di dalam hati.
*****************
~Hujan
itu pembawa semangat~
Hari-hari yang berlalu terasa sungguh cepat. Minggu
ulangkaji bagi semua pelajar Universiti Sains Malaysia bagi penggal ini sudah
menghampiri penghujungnya. Semua tempat dapat dilihat para pelajar mengelek
bermacam jenis buku. Bermula dari School of
Managemant sehinggalah ke Pusat Bahasa, semua pelajar sibuk dengan buku
masing-masing.
Bagi Najihah, dia merasa sudah hampir bersedia untuk
menghadapi peperiksaan kali ini. Study
discussion yang dibuat bersama rakan-rakannya banyak membantu. Mereka juga
telah banyak merujuk kepada pensyarah setiap kali menghadapi masalah dalam
memahami konsep-konsep yang dirasakan sukar. Keyakinan yang setiap sesuatu yang
sukar itu pasti ada jawapannyalah membuatkan Najihah semakin yakin untuk
menghadapi peperiksaan semester kali ini.
Pesanan daripada emaknya juga banyak memberikan dia
semangat di kala dia merasa semakin lemah untuk mengharungi saat-saat genting
ini. “Peperiksaan hanyalah menjawab persoalan daripada seorang pensyarah,
bukannya menjawab persoalan daripada Allah. Tiada apa yang perlu Najihah
takutkan, ya nak ...”. Emaknya yang sedang memarut kelapa untuk dimakan bersama
pulut bagi sarapan mereka sekeluarga, tersenyum kepadanya. Senyum emak manis
sekali ketika itu. Kata-kata emak umpama satu azimat penyembuh duka. Hatinya menjadi
kuat. Imannya semakin mantap. Emak menyedarkan dia yang tiada apa yang perlu
ditakutkan di dunia ini kecuali kepada Allah, Penguasa Alam ini.
Jam di meja belajar Najihah telah menjejak ke angka 10.35
malam. Najihah melipat sejadah serta telekung sembahyangnya lalu disangkut ke
palang besi di bahagian tepi pintu bilik. Dia baru sahaja selesai menunaikan
solat hajat. Malam ini dia sengaja memanjangkan waktu solatnya. Usai solat isyak
tadi, dia terus membaca surah yasin disusuli dengan solat hajat. Pagi esok, perjuangannya
akan bermula. Peperiksaan kertas pertama bagi semester ini dimulai dengan
subjek Meteorologi II. Hanya ketenangan sahaja yang dia dambakan saat ini.
Najihah beredar ke meja studynya. Fail putih yang di dalamnya terdapat slip peperiksaan
serta kertas panduan peperiksaan dilihat lama. Najihah memastikan sekali lagi
bahawa slip peperiksaannya mengandungi maklumat yang betul. Setelah memastikan
angka serta huruf-huruf yang tercatat pada slip itu betul dan lengkap, Najihah
membuka buku nota Meteorologi II yang sudah banyak bertanda dengan
kertas-kertas berwarna. Dia sekadar menyemak buat kali terakhir.
Angin kuat tiba-tiba menyerbu masuk. Najihah sedikit
tersentak apabila langsir biliknya terpukul ke luar bilik. Hujan yang hanya
renyai-renyai tadi rupanya sudah bertukar lebat. Daun tingkap biliknya mungkin
tidak dikemaskan menyebabkan ia terbuka secara tidak sengaja.
Najihah segera menarik langsir biliknya daripada terkena
tempias hujan sambil matanya dihala ke arah pohon besar yang masih jelas
kelihatan walaupun pada waktu malam. Tiba-tiba ingatan Najihah terlempar kepada
peristiwa dua minggu lepas. Peristiwa pada hari pertama hujan membasahi bumi
Minden. Pohon besar - anak kucing - lelaki yang baik hati. Apabila terbayangkan
wajah si baik hati, Najihah tiba-tiba seperti dilanda dejavu. Si baik hati yang
menyelamatkan kucing dan si baik hati yang memegang payung pinknya sambil
berkata “Saudari, payung awak” mempunyai wajah yang sama.
“Ya Allah. Dia ke?..” Najihah ketika itu sudah seperti
mahu menjerit. Akhirnya dia menemui jawapan bagi persoalan yang ada di mindanya
sejak minggu lepas. Lelaki yang menolong ketika dia terjatuh hari itu adalah
orang yang sama dia lihat menolong seekor kucing yang kesejukan di bawah pokok
besar yang kini sedang dipandangnya. Nampak gayanya dia memang kini akan difreezekan. Hujan yang semakin menggila
di luar serta diselangi dengan guruh yang berdentum di langit memaksa Najihah
untuk cepat-cepat menutup tingkap. Dia bersandar lega di kerusi sambil
tersenyum. Akal nakalnya tiba-tiba membisikkan kata mengatakan kemungkinan dia
dan si baik hati berjodoh. Namun apabila terpandangkan slip peperiksaan serta
buku nota yang sedang terbuka di hadapannya, Najihah cepat-cepat beristighfar.
Dia harus memfokuskan fikiran untuk peperiksaan esok hari.
“Fokus Najihah...fokus....”. Najihah menenangkan diri
sambil menarik nafas panjang. “Peperiksaan lebih penting sekarang Najihah!”.
Najihah merapatkan badannya ke kerusi lantas tangan di tadah bagi mengaminkan
doa penerang hati.
********************
~Sesudah
Hujan Teduh~
Hawa
dingin di dalam dewan peperiksaan membuatkan Najihah merapatkan baju sejuk
nipis yang dipakainya. Jam di tangan
kiri dipandang sekilas. Dia yang masih mempunyai masa lebih kurang sepuluh
minit sahaja lagi untuk menjawab kini sudah berada pada soalan yang terakhir.
Najihah menarik nafas lega apabila dia selesai menghabiskan ayat yang terakhir
pada helaian buku jawapan. Helaian-helaian kertas pada buku jawapan diselak
satu persatu bagi memastikan jawapan yang ditulis mengikut kehendak soalan.
Matanya turun naik membaca kembali jawapan yang sudah ditulis.
“Alhamdulillah....”.
Najihah menghela nafas lega sekali lagi. Dengungan suara kedengaran dari mikrofon
pengawas peperiksaan di hadapan dewan memberitahu para calon agar berhenti
menjawab kerana kertas jawapan akan mula dikutip sebentar lagi.
Najihah memandang lepas ke luar dewan peperiksaan. Langit
mula memberikan sinar mentari walaupun masih kelihatan rintik-rintik halus air
hujan . Sudah hampir dua minggu bumi Minden basah. Bagi Najihah, basahnya bumi
Minden memberikan dia semangat untuk mengharungi hari-hari yang sukar bagi
semester ini. Semester pengajian yang memberikan dia satu dimensi baru dalam
hidup. Pelbagai pahit manis yang sudah dia tempuh.
“Jihah!
Jom kita balik!” Nora sudah tersenyum lebar di hadapan Najihah membuatkan
Najihah pun tersenyum sama.
“Jomla..”
Ruang
legar di luar dewan peperiksaan penuh sesak dengan pelajar ketika Najihah
menolak pintu keluar. Dia cepat-cepat beralih ke arah rak menyimpan beg apabila
dilihat Nora sudah mula menghilang. Kebanyakkan pelajar pasti mahu cepat sampai
ke cafe. Ya lah, tenaga sudah habis
digunakan untuk bertarung di dalam dewan peperiksaan tadi jadi perut pasti
minta diisi.
Najihah
sedikit terjengah untuk mengambil begnya kerana terhalang oleh seorang pelajar
perempuan di hadapannya. Setelah berjaya mendapatkan beg serta payung yang
tersangkut kemas di tali backpacknya,
dia bergerak ke tepi dewan untuk memasukkan pencil
box serta sweater nipis yang
sudah ditanggalkan sebaik sahaja habis peperiksaan tadi. Tika itu, dia
terpandangkan sekeping nota kecil yang tersangkut elok pada pemegang payung
pinknya. Najihah sedikit berdebar. Tulisan yang kemas bertulis dengan pen
berdakwat biru dipandang lama.
Selamat Maju Jaya.
Semoga saudari dapat menempuhi
peperiksaan kali ini dengan hati yang tenang.
Salam Persahabatan
Nazirul Ikmal
Najihah terkesima. Pandangan di tala ke sekeliling
ruang legar dewan peperiksaan. Kedudukan Najihah yang berada di tepi koridor
menyukarkan dia mengesan si pemberi kad misteri. Namun begitu, tiba-tiba
matanya terhenti pada satu wajah yang amat dikenalinya sekarang. Wajah si
penyelamat kucing. Malah wajah itu jugalah yang membantunya tempoh hari. Si
pemilik wajah itu tersenyum memandangnya. Senyuman yang cukup manis buat
Najihah. Senyuman yang membuatkan bibir Najihah secara terus turut sama
menguntum senyum. Suasana di ruang itu cukup hening membuatkan hati Najihah
dilanda perasaan yang cukup damai.
Si
mentari malu-malu menjengah di sebalik awan. Awan mendung sudah mula melarikan
diri. Hujan sudah teduh. Begitu juga dengan hujan di hati Najihah. Berjuanglah
Najihah di bumi Minden ini dengan hati yang tenang kerana bahagia itu pasti
akan muncul jua.
TAMAT