Tuesday, April 12, 2011

BAIN

BAIN

Bahrain mendongak ke langit yang membiru. Kepulan awan yang memutih memberikan petanda bahawa cuaca yang baik pada pagi ini. Anak-anak burung yang baru belajar untuk mengendalikan sayapnya tidak terlepas pada pandangannya.Akalnya mula mengagumi ciptaan Allah itu.Sekecil-kecil burung pun harus belajar untuk hidup. Apatah lagi manusia yang dianugerahkan Allah kesempurnaan..Subhanallah...
"Bain!!!!...kenapa tak ke sekolah lagi?", laung satu suara dari arah belakang rumah membuatkan lamunannya terhenti.
"Ya mak!..Bain ke sekolah dulu ni," kata  Bahrain sambil mengikat tali kasutnya. Bain...panggilan yang diberi oleh arwah atuknya dulu. Susah sangat kata atuknya nak menyebut namanya. Maklumlah dah kurang gigi di depan. Tersengih sendiri dia bila ingatkan atuk. Hidupnya banyak dihabiskan dengan arwah dahulu. Ke sungai...ke kebun...
"Bain!!!!"
"Ye..ye.. mak..Bain pergi dulu. Assalamualaikum!!!"..teriak Bain kuat.

**********

Bain meletakkan beg di belakang kerusi. Kelas telah mulai penuh dengan kawan-kawannya yang sibuk dengan agenda masing-masing. Dia melilau mencari teman baiknya Udin yang belum kelihatan dari tadi.

"Hoi!". Sapa seseorang dari belakang sambil menepuk bahunya.
Bain yang sedikit tersentak pantas menoleh kebelakang. Sengihan Udin yang menampakkan barisan giginya yang kekuningan kesan terlampau minum air teh kata Udin membuatkan Bain tersenyum.
"Lambat kau datang hari ini. Aku ingat kau tak datang sekolah", kata Udin sambil mengeluarkan buku matematik tambahan.
"Aku lambat sikit hari ini. Ambil 'mood' tengok langit...."
"Aku faham sangat kau tu...",ujar Udin tanpa memandangnya. Dia telah mula membuat kiraan pada buku latihan matematik tambahannya. Udin, kawan sekampungnya dan juga teman akrab dari kecil. Dia banyak berkongsi suka duka dengan Udin. Malah kawannya itulah yang banyak menemaninya semasa dia hilang semangat ketika atuknya meninggal. Udin tahu yang Bain terlalu sayangkan atuknya dan tabiat melihat awan-awan di langit itulah yang diwarisi oleh Bain dari atuknya, Tok Ramli.
"Apa yang kau tengok sebenarnya?" ujar Udin tiba-tiba.
"Aku pun tak tahu Udin..Tapi ini sahaja cara yang aku boleh buat untuk dapatkan semangat aku balik. Pandang ke awan macam aku pandang arwah atuk aku."
Udin mengangkat kepalanya sambil mengerutkan dahi. "Kau jangan macam ni. Aku kan ada. Lagipun kau dah janji dengan aku hari tu yang kau nak jadi kuat." Ujar Udin sambil menepuk bahunya perlahan.
"Aku tahu. Aku kuatla.." ujar Bain sambil tersenyum." Aku suka sangat tengok awan-awan tu. Kadang-kadang kalau aku tak pandang ke atas sekali dalam sehari rasa macam orang kemaruk cinta je" gurau Bain sambil ketawa kecil.
Udin yang melihat kawan baiknya itu mula ketawa merasa senang hati.
"Tapi kan Bain, aku rasa kau memang berjodoh la dengan awan. Mana tahu satu hari nanti kau jadi 'pilot' bolehlah kau peluk awan tu hari-hari", tambah Udin ketika Bain mula melangkah ke tempat duduknya. Bain memandang Udin sambil mengaminkan tangannya ke muka. Pecah ketawa mereka berdua.
“Mak, Bain ke kebun limau dahulu. Udin nak ikut tolong sekali petang ini" ujar Bain sambil memandang emaknya yang sedang leka mengait mangga di hadapan rumah.
            "Yelah. Jangan lupa tengok-tengokkan ayah kamu sekali. Tengahari tadi balik sekejap sahaja. Lepas makan  terus menghilang ke kebun sayur tu" bebelan Mak Timah mula panjang apabila teringatkan suaminya itu. Dia merasakan kelainan pada kelakuan suaminya.
            "Baik mak, nanti Bain singgah di kebun sayur dahulu". Bain mengangkat tongkat basikalnya dan mula mengayuh basikal laju ke hadapan jalan. Udin sudah sedia menunggunya.
            Mak Timah hanya memandang kelibat anaknya yang mula menghilang. Ingatannya kembali pada Pak Rahim, bapanya Bain. Mak Timah tahu yang kebun limau serta kebun sayur itu sahajalah tempat suaminya berada. Cuma rasa bimbang pada suaminya makin menjadi-jadi semenjak kebelakangan ini. Semenjak Pak Rahim asyik mengadu sakit-sakit dada, menyebabkan dia juga tidak senang duduk. Bila dilarang ke kebun, ada sahajalah alasannya. Bosan hanya goyang kaki di rumah, letih kalau hanya duduk. 
            Perangai suaminya sekarang banyak mengingatkan Mak Timah pada arwah mentuanya, Haji Ramli. Dada Mak Timah berombak kencang.."Nauzubillah..." ucap Mak Timah perlahan. Hatinya dipujuk untuk tidak terlalu banyak berfikir.

******************
            Malam mula melabuhkan tirainya. Bain yang masih melawan rasa mengantuknya mula tersengguk-sengguk. Ulangkajinya malam ini sengaja diperbanyakkan lagi memandangkan peperiksaan SPM yang semakin hampir. Sesekali emaknya, Mak Timah menjengulkan kepala di pintu bilik melihatnya belajar. Wajah tua emaknya kadang-kadang membawa hatinya diruntun hiba. Wajah yang selalu berjaga malam ketika dia sakit.
            "Bain akan berusaha mak " bisik hati kecilnya. Walaupun kehidupannya sekarang boleh dikatakan stabil, tetapi dengan hasil kebun sayur dan kebun limau yang semakin merosot kebelakangan ini, merungsingkan mereka sekeluarga. Bain sedar sebagai abang sulung, dia menggalas tanggungjawab yang cukup besar dalam keluarganya. Dia memerlukan satu motivasi yang cukup tinggi untuk ditunjukkan kepada adik-adiknya. Pesan arwah atuknya suatu ketika dahulu masih segar dalam ingatannya. 
            "Jadi orang yang berguna, Bain. Hidup ini memerlukan kita untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukanlah hanya untuk kita menerima pemberian orang lain" kata Haji Ramli pada Bain ketika mereka sama-sama duduk di pangkin bawah pokok mangga di hadapan rumahnya. Sesekali Haji Ramli merenung mesra cucunya yang sedang asyik melukis awan-awan sambil mata Bain tidak lepas memandang ke langit. 
            "Bain nak sentuh awan-awan ni nanti atuk!" ujar Bain sambil tangannya masih ligat mencoret-coret di atas kertas lukisannya. Haji Ramli yang mendengarnya hanya tersenyum.
            "Tinggi cita-cita cucu atuk ni...." kata Haji Ramli sambil menggosok-gosok kepala Bain. Walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu, namun masih terasa hangat kepalanya ketika disentuh atuk.
            Bunyi batuk kuat ayahnya tiba-tiba mengejutkan Bain dari ingatan sepuluh tahun lepas. Dia cepat-cepat menapak ke arah bilik ayahnya. Mak Timah sedang mengurut-ngurut dada ayahnya yang berombak kencang. Bain segera memicit betis ayahnya yang sudah berkedut di mamah usia itu. Pak Rahim menarik nafas kuat-kuat sambil beristighfar.
            “Ayah ....”. Panggilan Bain hanya dibalas senyuman oleh ayahnya. Namun Bain nampak yang ayahnya sedang melawan rasa sakit dadanya. Lima minit beristighfar di samping Mak Timah dan Bain membantu, Pak Rahim dapat bernafas dengan baik kembali. Ayahnya meminta Bain kembali ke biliknya.
            “Ayah tak apa-apa. Bain pergilah tidur ya”, ujar Pak Rahim sambil mengorak senyuman nipis. Bain bangun dan perlahan-lahan berlalu ke biliknya.  Mak Timah yang masih lagi merasa risau memandang suaminya lama.
            “Kita ke klinik ya bang esok”, ujar Mak Timah sambil terus memicit bahu suaminya. “Saya tak apa-apa. Orang tua biasalah, Timah. Badan yang Allah bagi pinjam ni dah lama digunakan. Mulalah ada yang tak kena.Lagipun banyak lagi kerja kat kebun tu”. Bain yang mula melangkah ke biliknya terhenti. Kata-kata ayahnya membuatkan hatinya dipalu sebak. Cepat-cepat dia berlalu masuk ke biliknya.

**************************
           
            Kelas agak sunyi pagi itu. Peperiksaan pertengahan tahun baru sahaja mereka semua lepasi. Kebanyakkan daripada pelajar kelas 5 Sains 1 asyik dengan buku masing-masing. Pengumuman dari pembesar suara sekolah baru sahaja memberitahu semua pelajar tingkatan lima harus berada di kelas masing-masing kerana mesyuarat guru tingkatan lima sedang berlangsung di bilik mesyuarat. Bain dan Udin tidak ketinggalan menggunakan masa dengan sebaiknya untuk mengulangkaji pelajaran. Peperiksaan SPM yang tinggal hanya beberapa bulan lagi membuatkan mereka lebih tekun untuk belajar.
            “Bain, macam mana kesihatan ayah engkau?”. Bain yang tekun membuat latihan matematik tambahan mengangkatkan mukanya mendengar soalan Udin. Dia memandang wajah rakan baiknya itu sejenak. “Macam tu la. Malam tadi sesak nafas lagi. Aku pun bimbang ni. Bila emak aku ajak ke klinik, dia tak mahu.”. Raut wajah Bain jelas membayangkan yang dia amat risaukan kesihatan ayahnya itu.
            “Sabarlah ya Bain. Aku doakan ayah engkau cepat sembuh”. Bain hanya mampu tersenyum mendengar kata-kata Udin. Dia memandang ke luar tingkap kelasnya. Matanya merenung jauh ke arah bukit yang kelihatan gagah berdiri. Hatinya sempat berdetik mengagumi ciptaan Allah itu. Kekuatan bukit itu pasti datang dari pasaknya. Dia berfikir manusia juga pasti dapat berdiri dengan kuat kalau hati dan kekuatan dalamannya kukuh. Iman; kata ayahnya. Tiba-tiba seperti mendapat semangat baru, Bain kembali menyelak buku teks matematik tambahannya itu. Udin yang melihat kelakuan Bain hanya mampu tersenyum. Dia tahu rakan baiknya itu seorang remaja lelaki yang telah matang berbanding usianya. Udin mengagumi kepandaian serta perwatakan yang dimiliki oleh Bain. Walaupun dalam keadaan tertekan, Bain masih mampu menangani masalah dengan baik. Memang sesuai untuk jadi seorang pilot!. Udin tersenyum senang.
***************
            Petang itu Bain mengayuh laju basikalnya menuju ke kebun pisangnya. Hari ini dia telah berjanji dengan Pak Mail untuk menjual pisang-pisangnya. Hasilnya nanti dapatlah dia beli ubat untuk ayahnya. Kebun pisang yang sudah tidak jauh membuatkan Bain mengayuh lebih laju basikalnya. Setelah membelok di simpang kecil berdekatan dengan parit, dia melihat van Pak Mail yang sudah sedia menanti.
            “Maafkan saya Pak Mail. Saya terlambat sikit”. Bain menyalami tangan Pak Mail yang sedang tersengih dengan rokok daun terkepit kemas di celah giginya. “Tak apa, Bain. Pak Mail sengaja datang awal. Boleh tolong kamu tebang pisang-pisang tu. Ayah kamu macam mana? Sakit-sakit lagi?”. “Macam tu la Pak Mail. Ayah degil. Tak mahu ke klinik”. Bain yang mula bergerak ke pohon pisang dengan sebilah parang menjawab sambil memandang Pak Mail yang sudah pun bersedia untuk mencantas pisang yang masak kuning. “Nanti Pak Mail singgah rumah kamu sekejap. Mana tahu ayah kamu nak dengar cakap Pak Mail”. Kata-kata Pak Mail sedikit melegakan hati Bain. Dia mula mencantas pisang-pisang yang sedang masak kuning itu. Alhamdulillah rezeki dia murah kali ini. Pohon-pohon pisang yang ditanamnya sejak enam bulan dulu memberikan hasil yang lumayan petang ini. Dia tidak henti-henti mengucap syukur dalam hati. Dia tidak sabar untuk berkongsi kegembiraannya itu dengan Udin. Malam nanti dia ada kelas tambahan matapelajaran fizik, subjek yang dia begitu gemari. Balik dari kelas malam nanti dia mahu belanja burger sedap depan sekolah pada Udin. Budi baik rakannya itu harus dibalas walaupun dia tahu Udin ikhlas menolongnya.

.......Bersambung.........

No comments:

Post a Comment