ANTARA IMPIAN DAN HARAPAN
Jam menunjukkan pukul tujuh lima minit pagi apabila Nur
Dhuha mula memperlahankan kelajuan keretanya takkala matanya mula membaca nama
sekolah yang tertera pada pintu pagar yang bercat kuning cair. Nampak sudah
agak pudar warnanya. “Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tunggal”,ucap Nur Dhuha
dalam hati. Hati Nur Dhuha sedikit dipalu debar. Maklumlah hari ini merupakan
hari pertama tugasnya sebagainya seorang guru. Ketika melepasi pintu pagar
utama sekolah, matanya sempat terlihat kelakuan seorang pelajar yang baru tiba
dengan menaiki kereta. Pemandu kereta itu pasti ayahnya kerana pelajar tersebut
menyalami tangan lelaki itu dengan penuh tertib. Reaksi ayahnya selepas itu
benar-benar menyentuh hati kecilnya. Si ayah membuka sedikit songkok yang
berada di kepala anaknya lantas dicium dahi anaknya itu. SubhanaAllah. Terharu
dia melihat keikhlasan si ayah menghantar anaknya ke sekolah. Nur Dhuha mula
teringatkan dirinya. “Ikhlaskah hatiku untuk mendidik anak-anak bangsaku ini.
Betul ke pilihan aku berada di sini. Ya Allah… bantulah aku dalam menempuh
hari-hariku di sini.”
***************
Malam
kian larut. Nur Dhuha masih leka dengan buku-buku latihan yang masih banyak
tersusun di hadapannya. Setiap kesalahan pelajarnya ditandakan dengan cermat.
Dia telah diberikan tugas untuk mengajar matapelajaran Sains bagi tingkatan
satu dan dua. Satu tugas yang agak melegakan hatinya kerana tidak melibatkan
kelas peperiksaan iaitu tingkatan tiga. Namun, tugas mengajar tingkatan satu
dan dua juga tidak harus dipandang ringan. Mendidik anak-anak remaja yang
baharu mula untuk mengenal dunia. Terlalu banyak benda baharu yang harus
dipelajari. Sifat ingin tahu yang sedang membuak pasti ada dalam jiwa setiap
pelajar. Sifat itulah juga yang membuatkan Nur Dhuha meminati bidang sains.
Dunia sains baginya adalah satu dunia yang sangat indah. Melihat ilmu Allah
yang sangat luas. Itulah kata ayahnya dahulu.
Ayahnya,
Haji Karim bin Osman adalah individu yang banyak mempengaruhi jiwanya untuk
meminati bidang sains. Ayahnya yang merupakan guru besar di sekolah rendah di
kampungnya adalah seorang yang tegas dan penuh dengan disiplin. Sifat itu
jugalah yang sedikit sebanyak mempengaruhi jiwa Nur Dhuha sekarang. Akibat
sifat tegas dan degil mereka berdualah menyebabkan terjadinya satu pertengkaran
antara mereka berdua suatu ketika dahulu. Peristiwa yang merubah halatuju hidup
Nur Dhuha sekarang. Malam yang kian larut membawa ingatan Nur Dhuha kembali ke
enam tahun dahulu.
*************
Enam tahun lepas – Oktober 2006
“Mak,
hari ini Dhuha balik lambat sikit ya. Ada projek sains di sekolah.” Jeritan Nur
Dhuha yang kedengaran dari luar rumah membuatkan Mak Limah terhenti mencedok
nasi lemak ke pinggan Haji Karim. Mak Limah memandang suaminya sambil tersenyum.
“Tak
habis-habis dengan projek sainsnya. Nak jadi saintis ke apa anak awak tu?”. Mak
Limah ketawa kecil. Haji Karim yang mendengar memandang Mak Limah sejenak. “Mana
boleh jadi saintis. Saya mahu dia ikut jejak saya. Jadi seorang pendidik. Besar
pahala mendidik dan memberi ilmu ni”. Ujar Haji Karim sedikit tegas. Mak Limah
yang mendengar hanya tersenyum. “Ikut abang haji la. Tapi jangan dipaksa pula
anak awak tu. Nanti lain jadinya..” Haji Karim yang mendengar termenung jauh.
Nur
Dhuha merupakan satu-satunya anak perempuannya. Anak bongsu dari lima orang
adik beradik. Kesemua anak lelaki Haji Karim memilih bidang pekerjaan yang
berbeza-beza. Anak lelaki sulungnya kini berkhidmat sebagai seorang jurutera di
sebuah syarikat minyak di ibu kota. Anak kedua dan ketiganya memilih bidang
pertanian sebagai kerjaya mereka. Mahu berbudi kepada tanah kata mereka apabila
Haji Karim mula banyak bertanya. Haji Karim masih lagi punya harapan kepada dua
anaknya untuk mengikut jejak langkahnya. Namun, apabila anak lelaki keempatnya
awal-awal sudah ditawarkan biasiswa ke luar negara dalam bidang kedoktoran,
harapan Haji Karim hanya terletak pada Nur Dhuha. Anak bongsu perempuannya.
Sedari awal lagi dia sudah menanamkan minat mendidik kepada anak perempuannya
itu. Nur Dhuha sering diajak ke sekolah tempatnya mengajar untuk memberikan
tuisyen percuma kepada anak-anak kampung yang lemah dalam pelajaran. Tugas
sebagai guru besar di sebuah sekolah kampung membuatkan Haji Karim nekad
menyumbangkan sepenuh bakti dan tenaga bagi melihat anak bangsanya maju dan
berjaya. Nur Dhuha juga dilihat cenderung mengikut jejak langkahnya. Namun, semenjak
akhir-akhir ini Haji Karim melihat kecenderungan itu semakin hilang. Nur Dhuha
seakan mempunyai minat yang berlainan. Dia
semakin sibuk dengan bermacam-macam projek sains di sekolahnya. Dan kata-kata
isterinya tadi semakin membuatkan Haji Karim tidak senang duduk. Petang nanti
dia akan mula bertanyakan Nur Dhuha. Impiannya untuk melihat seorang anaknya
mengikut jejak langkahnya harus dipastikan tercapai. Dia harus memastikan
legasi pendidik di dalam keluarganya diteruskan.
**************
“Dhuha,
malam ini kelab astronomi nak buat cerapan. Awak nak ikut sekali tak?”. Raudhah
yang sedang sama-sama mengemas barang eksperimen yang baru sahaja mereka
selesai siapkan tadi memandang sejenak ke arah Nur Dhuha. Nur Dhuha hanya
mendiamkan diri. Fikirannya sibuk memikirkan alasan yang dia mahu berikan
kepada ayahnya. Sudah banyak kali dia terlepas peluang untuk mengikuti aktiviti
cerapan kelab astronomi sekolahnya. Kali ini dia betul-betul mahu turut serta. Tekadnya
untuk mendalami ilmu sains angkasa harus dimulakan mulai sekarang. Cita-citanya
adalah untuk mengkaji setiap juzuk di langit. “Bintang, planet, meteoroid, komet...”
Nur Dhuha tersenyum sendiri apabila teringatkan objek-objek di langit itu.
Impian untuk
mengkaji setiap juzuk langit itu bermula apabila ayahnya membawa dia melawat
Pusat Sains Negara ketika cuti akhir tahun sewaktu dia di tingkatan tiga.
Hadiah sempena dia mendapat 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah
Rendah(PMR). Dia yang baru kali pertama ke sana seperti rusa masuk kampung.
Semuanya membuatkan dia terpegun. Keluar sahaja daripada Pusat Sains Angkasa
itu,dia sudah memasang cita-cita baharu. Menjadi seorang saintis. Namun
cita-citanya itu hanya dipendam di dalam hati. Dia tahu bahawa ayahnya memang
mahukan dia menjadi seorang guru. Meneruskan legasi keluarga pendidik yang
bermula dari moyangnya. Bukan dia tidak mahu menjadi seorang guru, tetapi
bidang angkasa ini benar-benar membuatkan dia gembira. Dia gembira untuk
mengkaji objek-objek yang jauh di luar sana.
Sekarang dia sudah
berada di tingkatan lima. Tahun depan dia akan mula melanjutkan pelajaran.
Perkara inilah yang semakin hari merungsingkan Nur Dhuha. “Tak apalah, nanti
bincang baik-baik dengan ayah. Pasti ayah benarkan aku teruskan cita-citaku
ini”. Nur Dhuha menenangkan hatinya sendiri. Balik nanti dia akan minta
kebenaran ayahnya untuk ke sekolah malam ini. Kebetulan abangnya yang sulung
akan pulang ke rumah petang ini. Ayahnya pasti sibuk bermain dengan
cucu-cucunya. Nur Dhuha tersenyum riang.
***************
“Mak,
malam ni Dhuha ada aktiviti dekat sekolah. Mak tolong Dhuha boleh...” Nur Dhuha
mula memujuk sambil memeluk erat lengan emaknya. Emaknya yang melihat hanya
tersenyum. Mak Timah sudah mengetahui pasti aktiviti yang dimaksudkan oleh Nur
Dhuha itu melibatkan aktiviti sainsnya. “Mak bukan tak mahu tolong Dhuha tapi
sebaiknya Dhuha bagitahu ayah sendiri ya. Nanti bila Dhuha cakap dekat ayah,
mak tolong la tambah sikit-sikit supaya Dhuha dapat ke sekolah malam ini”. Mak
Timah mengusap lembut kepala anaknya. Nur Dhuha yang mendengar terus mengangkat
kepalanya sambil tersenyum. “Terima kasih mak. Sayang mak!”. Pipi emaknya itu
dicium mesra. Mak Timah hanya tersenyum melihat anak bongsunya itu yang mula
beredar ke bilik air.
***************
“Ayah,
malam ni ada aktiviti cerapan dekat sekolah. Kelab Astronomi yang kendalikan.
Dhuha nak pergi, boleh ayah?”. Haji Karim yang sedang membaca surat khabar di
beranda rumah memandang Nur Dhuha yang sudah mula melabuhkan punggungnya ke
kerusi di hadapannya. Muka anaknya itu dipandang lama. Sedikit pucat dilihat
muka Nur Dhuha. Mungkin takutkan jawapan yang keluar dari mulut Haji Karim. Mak
Timah yang datang membawa kopi panas dan kuih seri muka di dalam pinggan
sedikit tersenyum memandangnya. “Bagi la Nur Dhuha pergi. Dah lama rasanya dia
teringin nak ikut serta program sekolahnya tu. Along kan ada. Boleh dia tolong
hantarkan Nur Dhuha malam ni”. Mak Timah memandang Haji Karim dengan pandangan
yang sengaja diredupkan. Hati Haji Karim harus dilembutkan dahulu.
“Baiklah,ayah
benarkan Dhuha pergi malam ni. Tapi balik sahaja dari sekolah malam ni, ayah
nak cakap sikit dengan Dhuha”. Haji Karim memberi kata putus. Nur Dhuha yang
mendengarnya sedikit lega walaupun hatinya dilanda resah juga memikirkan benda
yang ingin diperkatakan oleh Haji Karim malam nanti.
*******************
“ Planet
Zuhal merupakan planet yang keenam di dalam sistem suria kita. Planet ini
sangat cantik kerana ia dikelilingi oleh gegelang yang terdiri daripada
batuan-batuan yang mengandungi pelbagai unsur kimia yang membolehkan ia
kelihatan berwarna-warni..”. Penerangan oleh Cikgu Amir berkenaan planet Zuhal
amat menarik perhatian Nur Dhuha. Sebentar lagi mereka akan memulakan cerapan.
Sekarang mereka berada di bulan Oktober. Mengikut kiraan, bulan ini mereka akan
dapat melihat planet Zuhal dengan jelas sekali apabila menggunakan teleskop
yang berkuasa sederhana. Nur Dhuha begitu teruja kerana ini merupakan kali
pertama dia menyertai cerapan yang dianjurkan oleh kelab astronomi sekolahnya.
“Nur
Dhuha, nanti giliran awak pula”. Suara Raudhah yang berada di tepinya
membuatkan Nur Dhuha sedikit tersentak. Dia melihat Ikmal kawan sekelasnya sudah
tersenyum simpul selepas berjaya melihat planet Zuhal dengan matanya sendiri.
Nur Dhuha sedikit gementar apabila Cikgu Amir mula menganggukkan kepala
kepadanya tanda gilirannya pula untuk melihat ciptaan Allah yang indah itu.
Saat
matanya menjamah kanta teleskop, jantungnya seperti berhenti berdegup.
SubhanaAllah... Matanya telah melihat salah satu ciptaan Allah yang amat indah
di alam ini. Objek yang berada beratus-ratus juta kilometer di atas sana
sekarang berada betul-betul di hadapan matanya kini. Nur Dhuha dapat melihat
dengan jelas gegelang yang melingkari sekeliling planet Zuhal. Indahnya ya
Allah ciptaanMu. Kala itu, hatinya kuat mengatakan bahawa inilah cita-citanya.
Tekadnya makin kuat. Dia harus berbincang secara baik dengan ayahnya berkenaan
masa depannya nanti. Dia harus mempunyai tekad yang kuat untuk mencapai
impiannya.
*******************
Suasana
pagi Jumaat yang sepatutnya tenang sedikit kecoh di rumah Haji Karim. Nur Dhuha
dilihat memegang kemas tangan Mak Timah. Haji Karim berdiri tegak memandang ke
luar di birai beranda. Abang sulung Nur Dhuha, Firdaus hanya memandang sepi.
“Ayah
tetap dengan keputusan ayah, Dhuha. Dhuha sahajalah satu-satunya harapan ayah.
Ayah harap Dhuha fikirlah baik-baik. Ini semua demi masa depan Dhuha juga”.
Haji Karim masih berkeras dengan keputusannya. Air mata Nur Dhuha sudah mula
mengalir perlahan dari pelupuk matanya.
“Tapi
ayah, ini impian Dhuha. Dhuha mahu capai apa yang Dhuha impikan selama ini”.
Jawapan Nur Dhuha yang sedikit keras diselangi dengan esakkan kecil membuatkan
Mak Timah memegang erat tangan anaknya itu. “Dhuha.... Jangan berkeras lagi
sayang..” Mak Timah lembut memujuk. Firdaus yang melihat kedegilan ayah dan
adiknya sedikit mengeluh. Dia amat memahami hasrat ayahnya untuk menjadikan Nur
Dhuha seorang guru sepertinya. Namun, di suatu sudut yang lain, Nur Dhuha juga
harus diberi peluang untuk melakukan apa yang dia inginkan selama ini.
“Ayah,
Aus rasa baiklah kita bincang hal ini lain kali. Dhuha, pergilah masuk bilik
dulu”. Firdaus memandang lama ke arah adiknya. Nur Dhuha yang sudah mula
teresak-esak di kerusi segera melangkah masuk sambil dipimpin emaknya.
“Ayah,
kita duduk dulu..” Firdaus memegang lembut lengan Haji Karim. Pandangan mata
ayahnya selepas itu membuatkan Firdaus sedikit hiba.
“Ayah
sayang anak-anak ayah. Ini juga impian ayah,Aus. Impian datuk nenek Aus juga.
Ayah tidak mahu memaksa Dhuha, namun ayah juga tidak mahu hampakan harapan
keturunan kita”. Ayat-ayat yang keluar dari mulut Haji Karim membuatkan Firdaus
hilang kata. Dia harus lakukan sesuatu sebelum segala-galanya menjadi semakin
rumit. Adiknya, Nur Dhuha harus dibawa berbincang.
*******************
Bunyi
cengkerik yang datang dari pokok-pokok di belakang rumah membuatkan Nur Dhuha
sedikit terhibur. Sudah dua hari semenjak peristiwa pertengkaran dia dan
ayahnya berlalu. Nur Dhuha masih lagi memendam rasa. Dia hanya keluar ketika
waktu makan. Selebihnya, masanya banyak dihabiskan di dalam bilik. Nur Dhuha
bukan mahu menjadi anak derhaka, namun dia sedikit terasa dengan sikap ayahnya
yang tidak mahu memahami perasaannya sekarang. Lagipun, inilah kali pertama dia
membantah cakap ayahnya.
Bunyi
ketukan kecil di pintu bilik membuatkan Nur Dhuha mengalih pandang ke arah
pintu biliknya.
“Dhuha, ini Along.
Boleh Along masuk?”. Suara abang sulungnya kedengaran jelas di luar pintu
biliknya.
“Masuklah.....”.
Nur Dhuha segera beralih duduk di kerusi meja belajarnya apabila dia melihat
pintu biliknya mula terbuka. Buku latihan matematik tambahan diselak laju. Nur
Dhuha berpura-pura sibuk menyiapkan latihan.
“Dhuha
sibuk ke? Along mengganggu Dhuha ke ni....”. Firdaus meletakkan punggungnya di
birai katil Nur Dhuha. Dia memiringkan badannya menghadap ke arah Nur Dhuha
yang jelas kelihatan berpura-pura sibuk dengan buku latihannya. Firdaus tahu
yang adiknya sedang mengelak untuk bercakap dengannya.
“Along nak cakap sikit
boleh..”. Nada suara Firdaus yang sengaja dilunakkan sedikit berjaya membuatkan
Nur Dhuha beralih duduk. Kerusi belajarnya digerakkan menghadap ke arah
abangnya itu.
Wajah
Nur Dhuha dipandang lama. Jelas kelihatan ada riak-riak resah di wajah kecil
itu. Firdaus sedar adiknya itu kini juga sedang bermain dengan perasaannya.
Hubungan ayah dan adiknya amat rapat selama ini. Apabila hal pertengkaran ini
berlaku pasti adiknya itu sungguh terasa.
“Dhuha,
Along harap Dhuha dapat dengar apa yang Along nak cakap ini dengan baik-baik
ya. Along tidak akan berpihak pada mana-mana pihak. Sebagai abang sulung, Along
hanya mahu yang terbaik untuk adik Along”. Wajah Nur Dhuha sedikit redup. Dia
sudah mengagak pasti Along mahu memujuknya.
Firdaus
mengambil nafas sebelum menyambung bicaranya. “Dhuha tahu kan Along sayang
adik-adik Along ...”. Firdaus melihat adik bongsunya itu menganggukkan kepala.
Dia mula mengatur kata. “Sepanjang kita membesar, Along pasti Dhuha yakin yang
ayah adalah antara ayah yang terbaik di dunia ini. Ayah membesarkan kita dengan
penuh kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Bagi Along sendiri, ayahlah idola
Along selama ini. Dalam tegas, ayah sampaikan kasih-sayangnya kepada kita
sehinggalah kita membesar dengan sempurna. Cukup diberikan makan, pakaian serta
keselesaan hidup seperti orang lain. Ayah jugalah yang banyak membimbing kita
dalam ilmu dunia dan akhirat..”. Firdaus berhenti sejenak sambil memandang
wajah Nur Dhuha. Dilihat mula ada manik-manik halus yang menitis perlahan dari
wajah polos itu.
“Keturunan
kita adalah dari keturunan yang cintakan ilmu. Bukan sahaja ilmu dunia malah
ilmu akhirat. Sebab itulah, moyang kita dahulu menjadikan guru sebagai punca
pendapatan mereka. Pada zaman dahulu gaji seorang guru ni bukanlah mahal namun
sebab cintakan ilmu, moyang kita tetap mengajar bagi menyampaikan apa yang
terbaik untuk hidup ini. Menjadi seorang guru bagaikan sudah sebati dalam diri
keturunan kita. Setiap keluarga pasti akan ada seorang yang akan menjadi
seorang guru. Sehinggalah kepada keluarga kita sekarang. Along pasti Dhuha akan
rasa yang Along juga tidak adil untuk Dhuha. Kenapa Along sahaja yang tidak
memilih untuk jadi seorang guru sedangkan Along yang sulung? Along minta maaf
banyak-banyak kalau Along juga pentingkan diri Along dahulu. Tapi percayalah ya
Dhuha, Along yakin jiwa pendidik itu ada dalam diri Dhuha. Hanya kepada Dhuha
sahaja harapan yang ayah sandarkan. Along harap Dhuha dapat buat keputusan
dengan baik ya, dik..”. Firdaus memandang lama ke wajah kecil adiknya itu.
Wajah yang kini sudah basah dengan air mata.
Nur
Dhuha memandang wajah keruh abangnya. Dia amat mengerti sekarang kenapa ayahnya
begitu bersungguh-sungguh untuk menjadikan dia seorang guru. Walaupun masih
terasa bahawa kenapa segala amanat moyangnya tergalas di bahunya, Nur Dhuha
akur. Dia tahu hanya kepada dia sahajalah harapan disandarkan.
“Tak apa
Along, Dhuha faham ....”. Bunyi cengkerik yang makin kuat disusuli dengan
dengungan katak membuatkan suasana malam kian terasa. Nur Dhuha pasrah jika ini
pilihan yang harus dia pilih.
****************
2 Januari 2012-11 malam
Malam yang kian
larut rupanya telah jauh membawa Nur Dhuha ke enam tahun dahulu. Nur Dhuha
mengalih pandangannya ke arah teleskop yang tersandar kemas di hujung katil.
Hadiah dari ayah sewaktu dia menerima surat tawaran melanjutkan pelajaran ke
Universiti of Leeds dalam bidang pendidikan. Seorang ayah yang amat memahami
jiwa anaknya. Nur Dhuha masih ingat kala itu dia tanpa segan selu memeluk kemas
ayahnya dengan linangan air mata. Dia amat sayangkan ayahnya. Walaupun kata
ayah pernah dibantah, dia tahu yang pilihan ibu bapalah yang amat terbaik untuk
seorang anak. Dia telah merasainya. Sepanjang berada di bumi asing, Nur Dhuha
telah berjaya menjelajah ke banyak negara bagi melihat keindahan alam. Teleskop
kecil pemberian ayahnya juga telah menemaninya sepanjang masa. Dia telah
mengikuti banyak program pencerapan sepanjang dia berada di bumi Leeds.
Pengalaman yang tidak dapat diganti dengan apa-apa. Bidang pendidikan juga
adalah satu bidang yang amat mencabar. Rupanya ilmu Allah ini tiada batasannya.
Semakin banyak dia belajar, semakin banyak benda yang dia mahu tahu.
Hatinya kini makin
tenang. Cita-citanya untuk bergelar seorang saintis rupanya tanpa sedar dia
telah kecapinya. Tekadnya hanya satu kini. Dia berazam untuk melahirkan lebih
ramai lagi bakal saintis masa hadapan di kalangan bangsa melayu sendiri. Ya
Allah...Kau berikanlah aku kekuatan serta keikhlasan untuk mendidik anak-anak
bangsaku.
“Ayah, terima kasih
kerana menyedarkan Dhuha bahawa dengan ilmu manusia akan diangkat
martabatnya......”. Nur Dhuha berbisik kecil sambil memandang lama pada wajah
ayahnya di dalam potret keluarga yang terletak kemas di atas meja. Sesungguhnya
Allah itu Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.