Monday, January 30, 2012

Mamat Si Budak Bubur Kacang-complete version~.~

Mamat&Bubur Kacang~.~

“Hari ni kau makan bubur kacang tak lagi Mat?” soal Karim apabila dia melihat Mamat mula menguap panjang.
 Waktu rehat yang hanya tinggal sepuluh minit lagi menyebabkan dia mula mengunyah laju baki nasi lemak yang ada di pinggannya. Mamat melihat sekilas pada Karim yang begitu berselera menikmati nasi lemak kantin sekolahnya itu. Sehinggakan sambal bilis yang pedas macam nak membunuh orang itu pun dikatakan rasanya hanya ala-ala bilis sweet sour. Apa punya orang la.
“Aku dah makan pagi tadi dekat rumah. Mak aku awal-awal lagi dah perah santan.” Mamat mula memandang Karim penuh semangat. “Kau tahu punyalah pekat bubur kacang mak aku buat. Kau bukan tak tahu selera aku kan. Bubur kacang yang tak pekat melekat aku tak makan. Hahahaa…”ketawa Mamat panjang.
Karim yang sudah faham perangai kawannya itu hanya tersenyum . Mamat yang suka makan bubur kacang. Mamat yang obsess dengan bubur kacang. Mujurla dia minat bubur kacang, kalau diminatnya burger McD tak ke naya mak dengan bapak dia. Karim sengih lagi. Bunyi loceng tamat waktu rehat menyelamatkan dia dari terus dengar syarahan Mamat pasal bubur kacangnya. Rasanya kalau suruh dibuat karangan SPM, mahu pecah rekod karangan terpanjang pasal bubur kacang!

.........................................

“Karim, kau tahu tak Sabtu ni ada kenduri dekat rumah Mak cik Bedah. Anak dia kahwin”. Karim yang mula mengunyah rambutan manis depan rumahnya memandang Mamat yang sudah mula turun dari pohon rambutan. Kerengga-kerengga yang mula merayap pada seluar track yang berlubang di lutut itu di sapunya cepat.
Karim hairan apabila Mamat menyebut rumah Mak cik Bedah ada kenduri. Mamat kenal ke anak Mak cik Bedah. Setahunya anak Mak cik Bedah yang bongsu pun sudah 26 tahun. Tak ada yang sebaya dengan mereka. “Kenapa? Mak cik Bedah jemput kau ke?”. Karim menyoal Mamat setelah dilihatnya Mamat mula memandangnya. “Mak aku cakap ada bubur kacang”. Mamat menyengih. Karim yang mendengar alasan Mamat mula menepuk-nepuk dahinya. Tidak percaya yang keobsesan Mamat pada bubur kacang makin menjadi-jadi. Nampak gayanya Mamat dah makin maju. “Kau nak buat kajian ke apa Mat? Jangan kau kata kau nak pergi makan free bubur kacang kat sana”.
“Mak aku dah membebel la sekarang. Dia kata harga santan makin mahal. Nyior pun mahal. Dia dah tak mahu buatkan aku bubur kacang. Kau tahu, dia cakap kalau aku nak makan bubur kacang lagi aku kena pergi cari sendiri. Itu yang aku nak pergi rumah Mak cik Bedah Sabtu ni”.
 Karim yang mendengar melopong. Andaiannya betul. Mamat nekad betul. Dia memandang Mamat yang sedang melibas-libas bajunya pada batang pohon rambutan. Parah betul keadaan dia ni kalau tak makan bubur kacang. Mahu dilibasnya aku pula nanti. “Jadi kau nak pergi la ni? Kau pergi seorang kan?” Karim bimbang jika dia diajak sama. Tak pernah-pernah dia pergi ke kenduri. Nanti dibantainya kena pergi salam dengan tuan rumah. Dia nak cakap apa. Parah-parah.
“Kita pergi berdua la. Kau teman aku ya”.Mamat menyengih-nyengih sambil membuat muka ala-ala manja. Karim sudah rasa mahu pengsan.

**********************

“Mat, kita kena pegi salam dengan tuan rumah jugak ke nanti?”. Karim yang sudah mula rasa peluh dingin membasahi pipinya menyoal Mamat yang dilihatnya sedang membetul-betulkan bajunya. Lain betul penampilan Mamat hari ni. Kemas bersih. Hampir tidak kenal Karim tadi.
“Pergi kenduri memang la kena salam dengan tuan rumah dia. Kau ni. Kurang ajar tu namanya kalau lepas makan tak ucap terima kasih dekat tuan rumah. Hehehe .....”.
“Kau melawak ye Mat. Aku balik kan.....” acah Karim. Mamat cepat-cepat menarik tangan Karim.
“Aku gurau je la Rim. Kau jangan macam ni. Aku dah prepare lama tahu ayat-ayat untuk hari ni. Kau nak tengok aku merana sepanjang minggu ni ke ....”. Mamat buat ayat memujuk. Tidak sampai hati melihat Mamat yang sudah buat muka macam bini baru ditinggalkan laki tu cepat-cepat Karim melangkah ke arah khemah besar yang sudah tersedia di hadapan rumah Mak cik Bedah. Mamat di belakangnya menjerit panjang sambil melompat-lompat.
Suasana riuh dengan suara kanak-kanak yang berlari ke sana ke mari. Karim yang sudah selesai membasuh tangan melilau mencari Mamat. Tadi dia baru sahaja selesai menghabiskan mangkuk bubur kacangnya yang ke dua. Memang betul-betul hantu bubur kacang. Dia pun tidak tahu kenapa Mamat minat betul dengan bubur kacang. Dia semangkuk pun sudah rasa macam terus nak cari air masak lepas makan. Manis. Agaknya Mamat bakal menjadi penghidap penyakit popular di Malaysia-diabetes- satu hari nanti.
Mata Karim tidak lepas-lepas memandang ke sana sini. Selepas ini kena pergi jumpa tuan rumah. Dia sudah nampak Pak Jusoh yang tercegat di tepi khemah sambil sibuk menyalami setiap tetamu yang datang. Adat berkenduri, tuan rumah mesti akan tersenyum memanjang sepanjang hari. Hanya berhenti sekejap-sekejap untuk berehat dan solat. Tahun lepas kakak dia kahwin pun macam tu. Selepas itu malamnya dia yang jadi tukang urut kaki ayahnya.
 Ayat yang diajar oleh Mamat tadi diingat balik. ‘Terima kasih Pak cik. Tahniah sebab sudah terima menantu baru’. Skema.
“Melamun!”. Sergah Mamat yang tiba-tiba datang dari ceruk mana dia pun tidak tahu.
“Kau pergi mana? Puas aku intai sana sini. Dah siap ke? Jom la kita balik”. Karim memandang Mamat yang sedia tersengih. Tangan kanannya memegang plastik warna hijau. Ada isi pula tu.
“Apa tu?”
“Ha. Inilah senjata yang aku prepare dari malam tadi. Jeng ...jeng....”. Mamat membuka isi plastik hijau di tangannya itu.
Bubur kacang!
“Wei! Mana kau dapat ni?”
“Aku mengayat la. Aku pergi dekat bahagian dapur tadi. Mak cik- mak cik dekat situ ramah giler. Aku cakap kakak aku mengandung. Dia mengidam nak makan bubur kacang. Apa lagi mak cik tu terus bungkus bubur kacang dekat aku. Best giler....”
“Ha!” .Karim menepuk dahinya berkali-kali. Tidak percaya dengan tindakan Mamat. Apa la nasib dia dapat kawan yang tidak tahu malu ni. Mamat di tepinya masih tersengih dengan mata yang sekejap-sekejap melihat isi plastik hijau di tangannya. Karim cepat-cepat melangkah ke arah Pak cik Jusoh.
“Rim! Tunggulah!”. Jeritan Mamat tidak dihiraukannya.

************
Lima tahun berlalu ......
Pagi yang cerah dengan sesekali angin dingin menyapu pipi membuatkan Karim cepat-cepat menutup jendela. Di luar, salji masih lagi turun membuatkan bumi St. Andrews kelihatan seperti dalam peti ais bahagian sejuk beku. Putih dan beku. Hari ini kelas analytical & statistical methods in earth science yang dikendalikan oleh Dr. Hadi, pensyarah jemputan dari Malaysia dibatalkan pada saat-saat  akhir. Mungkin cuaca yang agak teruk menyebabkan banyak penerbangan yang tergendala. Sudah tiga tahun berada di bumi Scotland membuatkan Karim sudah kalih dengan perubahan cuaca di bumi asing ini. Dia begitu beruntung kerana berjaya untuk melanjutkan pelajaran di Universiti of St. Andrews . Mengambil jurusan dalam Bachelor Science of Geology menghantar Karim jauh ke negara orang. Minat yang mendalam terhadap bumi ciptaan Allah ini membuatkan Karim nekad memilih bidang yang begitu jarang dikuasai oleh orang Melayu sepertinya.
Karim melangkah ke arah dapur rumah sewanya. Hari ini gilirannya memasak. Rutin di rumah sewa bersama rakan-rakan. Memasak untuk menjimatkan duit. Dia membuka peti sejuk. Abang Rauhan, senior Phd yang sudah menjadi rakan serumahnya sejak dua tahun lepas ada bersungut pasal kualiti masakannya. Hahaha. Dia tahu yang skil masakannya memang la jauh panggang dari Chef Wan tapi rasanya masih boleh di telan. Cuma mungkin sedikit manis-bak kata Senpai Rauhan.
Dia mencapai lobak dan seikat sawi yang dibeli di pasaraya Nisa dua hari lepas. Pasaraya yang terletak betul-betul di hadapan Tesco itu selalu menjadi tempat untuk dia berbelanja. Ya lah hanya dua pasaraya itu sahaja yang ada di St. Andrews ini. Mahu atau tidak terpaksalah redha dengan apa yang ada walaupun kadang-kadang dalam hati selalu menyumpah kerana harga yang mahal macam drakula penghisap darah manusia. Sabar sahajalah.
Selesai memotong sawi serta lobak kecil-kecil, dia mula memanaskan minyak di dalam kuali. Resepi nasi goreng kampung yang sedia terlekat pada peti sejuk di pandang sekilas. Bilis yang dikurier oleh adiknya sampai semalam. Berjoget sekejap dia apabila buka-buka sahaja pintu semalam, mister posto tersengih minta autograf. Buka-buka parcel, terhidang dua-tiga paket bilis serta bermacam serbuk perencah. Hehehe.. Sepanjang hari itu senyumnya sampai ke telinga dengan mulut tidak berhenti-henti berjanji pada seisi rumah sewanya itu untuk memasak. Abang Rauhan yang melihat pun hanya menggeleng kepala. Jadi, hari ini dia kena kotakan janjinya semalam dengan membuat nasi goreng perencah Adabi yang superb gitu.
Dia sudah selesai membasuh bilis dan mula menggoreng bilis dahulu apabila loceng rumahnya berbunyi. “Siapalah yang datang pulak ni .... Takkan Salihin tak bawa kunci?”
Sebaik pintu dikuak tercegat mister posto semalam. Aik? Tak kan hari ini ada barang sampai lagi. Tak pernah-pernah dalam sejarah mister posto ni datang berturut rumah dia ni.
Mr. Abdul Karim?”
Yes ....”
Can you sign here,  mister. I think you get another parcel from Malaysia.”Encik posto yang menyengih di depanku ini membuat aku pun ikut sengih. Barang bertukar tangan.
 Selesai menggores pada kertas di tangan encik posto dan melihat lelaki berbadan gempal dan berkaca mata itu menghilang ke seberang jalan, barulah Karim menutup pintu dan berjalan balik ke dapur.
Barang yang berbungkus dengan kertas berwarna coklat itu ditilik. Malaysia – Terengganu. Siapa di Terengganu yang menghantar barang kepadanya. Takkan Tok Mak. Mustahil. Nama pengirim dibaca. Mohammad Kamil bin Sulaiman. Mamat. Budak bubur kacang.
Sudah lama dia tidak mendengar khabar rakan baiknya itu. Setelah habis sahaja tingkatan lima dia berpindah ke Johor kerana ayahnya ditukarkan ke sana. Selepas itu hubungannya dengan Mamat sedikit jauh kerana dia sibuk dengan aktiviti di matrikulasi dan sehinggalah sekarang. Makin jauh. Seingatnya selepas keputusan SPM dia ada menghubungi Mamat. Kawan baiknya itu mendapat keputusan yang tidak kurang hebatnya.8A 1C. Jadi dia beranggapan Mamat pun pasti sudah berjaya kini dengan pelajarannya. Namun bungkusan yang ada di depannya ini sedikit membuatnya hairan.
Dia mula  mengoyak kertas berwarna coklat itu dengan sedikit gelojoh apabila perasaan ingin tahunya sangat kuat. Sedar-sedar sahaja dia sudah dapat melihat isi bungkusan dari Mamat itu.

                             Mohammad Kamil bin Sulaiman
                             Manis Enterprise
                             Pengusaha Bubur Kacang Segera
                             Jalan Seberang Takir
                             21300 Kuala Terengganu
                             Terengganu, Malaysia

Barang yang berpaket kemas dengan plastik kedap udara itu ditiliknya beberapa kali. Kertas putih yang terlekat cantik di depan paket itu dibaca sedikit kuat.
Mamat dah berjaya! Ya Allah.... Rakan baiknya peminat bubur kacang paling setia sudah berjaya. Bibirnya mengucap syukur sambil senyum yang panjang di bibir.
“Assalamualaikum!”
“Karim, tadi aku singgah di Nisa beli sandwich 'chicken tikka'  yang kau suka tu. Lepas tu aku jumpa paket ni. Kalau kau tengok mesti tak percaya. Bubur kacang sudah dipaket weiii.....”. Salihin yang menjengul di pintu dapur sudah mula gelak-gelak. Sebaik dia memandang Karim yang sedang memegang paket yang sama matanya sedikit membulat.
“Produk Malaysia. Orang Melayu yang buat. Dia kawan aku .....”. Karim memandang Salihin dengan muka yang penuh manis. Semanis bubur kacang.... Mamat...





~~Ada orang pernah cakap, jangan sesekali kita remehkan impian
~~Sekalipun impian itu hanya ingin membeli pemadam kecil di MayDin Mall^_^

 Bermimpilah setinggi-tingginya
 Jangan pernah remehkan impian kita
 Setinggi apa pun
 Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar


                                                                                                -TAMAT-


2 comments:

  1. cerpen yg menarik!! ada pengajaran,lawak.meamng ketawa saya membacanya di akhir cerpen nih..hehe..bagus..boleh cuba2 unutk mengarang novel dah ni..

    ReplyDelete
  2. terima kasih byk2.arigatou na!!^_^..insyaAllah.smg diberi kekuatan dan idea yg berpanjangan dari Allah.=)

    ReplyDelete