Sunday, January 30, 2011

"Mak, Bain ke kebun limau dahulu. Udin nak ikut tolong sekali petang ini" ujar Bain sambil memandang emaknya yang sedang leka mengait mangga di hadapan rumah.

"Yelah. Jangan lupa tengok-tengokkan ayah kamu sekali. Tengahari tadi balik sekejap sahaja. Lepas tu terus menghilang ke kebun sayur tu" bebelah Mak Timah mula panjang.

"Baik mak, nanti Bain singgah di kebun sayur dahulu..". Bain mengangkat tongkat basikalnya dan mula mengayuh basikal laju ke hadapan jalan. Udin sudah sedia menunggunya.

Mak Timah hanya memandang kelibat anaknya yang mula menghilang. Ingatannya kembali pada Pak Rahim, bapanya Bain. Mak Timah tahu yang kebun limau serta kebun sayur itu sahajalah tempat suaminya berada. Cuma rasa bimbang pada suaminya makin menjadi-jadi semenjak kebelakangan ini. Semenjak Pak Rahim asyik mengadu sakit-sakit dada, menyebabkan dia juga tidak senang duduk. Bila dilarang ke kebun, ada sahajalah alasannya.

Perangai suaminya sekarang banyak mengingatkan Mak Timah pada arwah mentuanya, Haji Ramli. Dada Mak Timah berombak kencang.."Nauzubillah..." ucap Mak Timah perlahan.

******************

Malam mula melabuhkan tirainya. Bain yang masih melawan rasa mengantuknya mula tersengguk-sengguk. Ulangkajinya malam ini sengaja diperbanyakkan lagi memandangkan peperiksaan SPM yang semakin hampir. Sesekali emaknya, Mak Timah mengjengulkan kepala di pintu bilik melihatnya belajar. Wajah tua emaknya kadang-kadang membawa hatinya diruntun hiba.

"Bain akan berusaha mak.." bisik hati kecilnya.

Walaupun kehidupannya sekarang boleh dikatakan stabil, tetapi dengan hasil kebun sayur dan kebun limau yang semakin merosot kebelakangan ini, merungsingkan mereka sekeluarga. Bain sedar sebagai abang sulung, dia menggalas tanggungjawab yang cukup besar dalam keluarganya. Dia memerlukan satu motivasi yang cukup tinggi untuk ditunjukkan kepada adik-adiknya. Pesan atuknya dulu masih segar dalam ingatannya.

"Jadi orang yang berguna, Bain. Hidup ini memerlukan kita untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukanlah hanya untuk menerima..."kata Haji Ramli pada Bain ketika mereka sama-sama duduk di pangkin bawah pokok mangga di hadapan rumahnya. Sesekali Haji Ramli merenung mesra cucunya yang sedang asyik melukis awan-awan di langit.

"Bain nak sentuh awan-awan ni nanti atuk!" ujar Bain sambil tangannya masih ligat mencoret-coret di atas kertas lukisannya. Haji Ramli yang mendengarnya hanya tersenyum.

"Tinggi cita-cita cucu atuk ni...." kata Haji Ramli sambil menggosok-gosok kepala Bain.

No comments:

Post a Comment